Bakal jemaah berlatih laksana saie

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Kira-kira 190 bakal jemaah yang akan menunaikan ibadah umrah telah mengikuti praktikal saie di bawah pengendalian At-Taqwa Travel Tours yang diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pagi tadi.

Hadir menyampaikan taklimat dan mengendalikan praktikal tersebut ialah Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk yang menjelaskan mengenai tatatertib dalam mengerjakan saie.

Jemaah umrah kali ini akan berlepas meninggalkan negara bermula 14 Disember 2019 hingga 15 Januari 2020 secara berperingkat-peringkat.

Dengan adanya aktiviti praktikal seumpama ini diharap akan memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada bakal jemaah haji apabila melaksanakan saie nanti dan persiapan diri sebelum berangkat ke tanah suci di samping mengeratkan lagi hubungan dan mahabbah bersama bakal jemaah umrah yang lain.

Praktikal saie yang diadakan pagi kelmarin di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. – Gambar oleh Rahwani Zahari