Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Bakal jemaah haji hadiri Taklimat Kesihatan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi tahun 1444H/2023, hari ini, telah menghadiri Taklimat Kesihatan sebagai persiapan dari aspek kesihatan sebelum bertolak ke tanah suci, yang diadakan di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Seramai 20 anggota perubatan Negara Brunei Darussalam terdiri daripada enam doktor dan 14 jururawat telah dilantik sebagai pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) yang akan mengiringi bakal jemaah haji negara.

    Hadir menyampaikan pe-nerangan dan nasihat semasa sesi taklimat mengenai ‘Kesihatan Umum’ ialah Penguasa Perubatan / Konsultan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (Ketua Unit Perkhidmatan Perubatan Haji), Dr Haji Muhammad Nurhanuddin bin Abdullah Kelali.

    Seterusnya taklimat mengenai ‘Kesihatan Wanita’ disampaikan oleh Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan), Dr Norsilmi Niza binti Haji Mat Zainin dan Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan), Dr Hajah Martina Melati binti Dato Seri Paduka Haji Kifrawi.

    Taklimat kesihatan merupakan satu aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Urusan Haji dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Perubatan Haji, Kementerian Kesihatan bagi para bakal jemaah haji sebelum bertolak ke tanah suci untuk menunaikan ibadat haji.

    Antara tujuan taklimat berkenaan adalah untuk memberikan penerangan mengenai peraturan-peraturan dan panduan kesihatan ditetapkan yang perlu diambil perhatian oleh para bakal jemaah haji sebelum bertolak dan semasa berada di tanah suci sehingga kembali ke tanah air.

    Para pegawai menyampaikan penerangan dan nasihat semasa sesi taklimat berkenaan.
    Antara bakal jemaah haji lelaki yang hadir pada taklimat tersebut.
    Antara bakal jemaah Haji perempuan turut hadir di sesi taklimat kesihatan di Dewan Canselor UBD.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...