Bakal jemaah haji hadiri taklimat kesihatan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Bagi menyampaikan maklumat dan panduan kesihatan yang perlu diketahui oleh bakal jemaah haji termasuk kemudahan yang disediakan di Tanah Suci nanti, Taklimat Kesihatan bagi Para Bakal Jemaah Haji tahun 1440H/2019M telah diadakan di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), pagi ini.

Selain itu, taklimat tersebut juga bertujuan untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama daripada jemaah haji dalam urusan amalan penjagaan kesihatan seharian semasa berada di Tanah Suci serta persediaan kesihatan sebelum ke sana nanti di samping memastikan peraturan haji kerajaan Arab Saudi sentiasa dipatuhi.

Pada majlis itu, taklimat bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan Di Tanah Suci’ telah disampaikan oleh Pakar Perubatan, Dr Haji Mohammad Ady Adillah bin Ahmad selaku ketua rombongan Maktab Urusan Haji Perubatan dan Pegawai Perubatan Kanan, Kementerian Kesihatan, Dr Mohammad Haji Firdaus bin Mat Daud.

Sementara itu, Taklimat Kesihatan bagi Bakal Jemaah Haji Wanita pula disampaikan oleh Pakar Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr Shilla Mariah binti Dr Muhammad Yussof dan Pakar Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr Pengiran Hajah Roserahayu binti Pengiran Haji Idrus.

Bagi musim haji tahun ini, pegawai Maktab Urusan Haji Perubatan Negara Brunei Darussalam akan disertai oleh seramai 20 orang yang terdiri daripada enam orang doktor dan 14 jururawat.

Taklimat kesihatan bagi para bakal jemaah haji merupakan satu aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Urusan Haji dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Perubatan Haji, Kementerian kesihatan bagi para bakal jemaah haji sebelum bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji.

Dengan adanya taklimat itu, adalah diharapkan para bakal jemaah haji akan dapat mengambil langkah awal untuk menjaga kesihatan dan mematuhi saranan-saranan dan nasihat agar sentiasa dalam keadaan selesa dan sihat sejahtera dalam melaksanakan ibadat haji.

Taklimat Kesihatan yang berlangsung di Dewan Canselor UBD, pagi kelmarin.
Bakal jemaah haji wanita tahun ini yang hadir pada sesi taklimat kesihatan berkenaan.