Bakal kerjasama dengan negara ada hubungan sejarah Johor

BATU PAHAT, JOHOR, 6 OKT – Kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan mengadakan kerjasama dengan negara-negara yang mempunyai perhubungan sejarah dengan negeri ini sebagai persiapan dalam menyambut Tahun Melawat Johor pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kerjasama berkenaan dilakukan bertujuan ‘mempersembahkan’ sejarah sebenar berkaitan dengan negeri ini, terutamanya dalam aspek kebudayaan.

Beliau berkata Negara Brunei Darussalam dan Turki merupakan antara negara yang akan terlibat dalam kerjasama tersebut yang mana kedua-dua negara terbabit mempunyai hubung kait dengan sejarah dan kebudayaan Johor.

“Kita juga akan menjemput negara-negara ini untuk meraikan bersama kita ketika sambutan Tahun Melawat Johor, tahun hadapan,” katanya kepada para pemberita selepas merasmikan program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Negeri Johor 2019, di Taman Suria Ros, Ayer Hitam, dekat sini, hari ini.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz, Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) dan Pengerusi Pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Daerah Batu Pahat, Wahyu Hidayat Jaapar.

Mohd Khuzzan berkata pelbagai perancangan, program dan aktiviti sudah dirangka pihaknya untuk menyambut Tahun Melawat Johor termasuk menaik taraf muzium sedia ada.

Menurut Mohd Khuzzan, bagi pihaknya, sambutan Tahun Melawat Johor sudah bermula tahun ini menerusi Festival Hujung Medini, di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru mulai 12 hingga 17 Oktober ini. – Bernama