OTTAWA, 23 Okt – Bakal Menteri Luar Negeri Mexico, Marcelo Ebrard berikrar untuk cuba mengurangkan penghijrahan besar-besar penduduk Amerika Tengah dengan merangsang pelaburan di negara mereka.
Komen itu dibuat semasa lawatan ke Ottawa diikuti oleh ‘serangan’ Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Twitter ke atas ribuan penghijrah, sebahagian besarnya adalah warga Honduras, yang menuju ke sempadan AS.
“Catatan dalam Twitter yang kerap kita lihat kebelakangan ini tidak mengejutkan saya, ia tidak mengejutkan kerajaan. Ia sangat dekat dengan pilihan raya (penggal pertengahan) di AS,” kata Ebrard.
Dia berjanji bagi ‘perubahan besar’ bagi dasar pendatang Mexico apabila bakal presiden, Andres Manuel Lopez Obrador mengangkat sumpah pada 1 Disember.
“Akan ada lebih banyak visa kerja,” kata Ebrard.
“Kami akan membuat pelaburan di Honduras, Guatemala dan El Salvador. Kami sedang berusaha ke arah itu dan kami akan membuat pelaburan besar di bahagian selatan Mexico.
“Oleh itu akan terdapat banyak peluang pekerjaan dan kami percaya dengan semua ini kita boleh melaksanakan dasar pendatang Mexico yang baharu.”
Pihak berkuasa Mexico berjaya menghalang kumpulan besar pendatang di jambatan sempadan antara Mexico dan Guatemala, namun mereka menyeberangi sungai menggunakan rakit sebelum meneruskan langkah ke utara. – AFP
