Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Seramai 70 orang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan kerajaan yang mengikuti kursus kendalian Institut Perkhidmatan Awam (IPA) bagi mereka yang bakal bersara telah mengadakan lawatan ke Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Kampung Perpindahan Lambak Kanan, kelmarin.
Lawatan itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengurus PKWE Brunei Muara, Haji Mohammad Hussin bin Haji Mohd Yusof yang seterusnya menjelaskan mengenai kegiatan-kegiatan yang dijalankan di pusat tersebut.
Rombongan juga dihiburkan dengan persembahan tausyeh dan persembahan tarian daripada warga emas di pusat berkenaan.
Antara tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau lebih dekat kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh PKWE dan seterusnya memberi galakan kepada bakal pesara-pesara ini nanti untuk sama-sama melibatkan diri dalam PKWE yang mana kebanyakan ahli-ahli yang menyertai PKWE masa ini adalah terdiri daripada mantan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan.