Bakal pesara dapatkan ilmu perancangan kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan, Insurans Islam TAIB Family Takaful (IITFT) telah mengadakan Taklimat Pengurusan Kewangan Pintar bagi bakal pesara Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.

Pengurus Besar IITFT, Haji Shamsul bin Haji Muhamad yang merupakan perancang kewangan bertauliah menyatakan bahawa taklimat berkenaan juga berobjektif untuk melengkapkan para peserta dengan pengetahuan perancangan kewangan asas bagi kehidupan selepas persaraan.

Ia juga bertujuan untuk menggalakkan mereka menyimpan dana persaraan dan melindunginya daripada penipuan kewangan, memberikan bimbingan dalam menguruskan hal ehwal kewangan persaraan mereka serta untuk bersedia bagi pengagihan harta kepada waris.

Menurut kenyataan yang diberikan, dialog berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan IITFT dalam berkongsi pengetahuan perancangan kewangan dengan orang awam.

Haji Shamsul bergambar ramai bersama para peserta taklimat. – Gambar daripada IITFT