Bakar kabel internet kerana sambungan perlahan

BEIJING, 12 JAN – Seorang lelaki di China telah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana membakar peralatan Internet selepas berang dengan sambungan yang lembap, menurut kenyataan pihak berkuasa.

Lelaki tersebut, yang hanya dikenali sebagai Lan, berada di kafe Internet di wilayah Guangxi bahagian selatan Jun lalu apabila dia merasa kecewa dengan kepantasan sambungan Internet yang perlahan.

Dia kemudian bertindak merosakkan kotak mengandungi kabel rangkaian fiber optik, menurut kenyataan mahkamah tempatan pada Isnin.

Mahkamah berkata lelaki tersebut “menggunakan pemetik api untuk membakar kain kemudian dibuangnya pada kotak telekomunikasi di persimpangan.”

Kebakaran mengakibatkan hampir 4,000 buah rumah dan pejabat, termasuk hospital, terputus sambungan Internet selama 28 hingga 50 jam.

“Selepas kejadian, pegawai kese-lamatan awam merampas peralatan jenayah Lan – pemetik api,” menurut mahkamah di Cenxi, bandar kecil di kawasan pergunungan.

Lan kemudian dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana ‘merosakkan kemudahan telekomunikasi awam’. – AFP