Thursday, June 1, 2023
34.6 C
Brunei

    -

    Bakar kafe kerana kecewa

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Seorang tukang masak telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dengan enam kali sebatan selepas mengaku bersalah membakar kafe majikannya, kerana kecewa di tempat kerja.

    Hakim Mahkamah Perantaraan, Hajah Hazarena binti POKSJDSP Haji Hurairah ketika menjatuhkan penghakiman pada 14 Mac, berkata tindakan Awangku Muhammad Hafiz Dzulfadly bin Pengiran Hassanal Ariffin itu diburukkan lagi kerana mempertaruhkan keselamatan penghuni bangunan, walaupun tiada sesiapa yang cedera.

    Mahkamah turut mengambil kira kerosakan berjumlah kira-kira $16,000 kepada Boss Cafe, walaupun api berjaya dipadamkan oleh penyiram air automatik yang mencegahnya daripada merebak.

    Mahkamah juga mempertimbangkan isu yang dibangkitkan oleh defendan dengan memberi pertimbangan bagi perintah percubaan yang diminta oleh peguam defendan, Robin Cheok dan Iman Hisham dari Messrs Cheok Advocates and Solicitors.

    Defendan tidak berniat untuk mencederakan sesiapa kerana dia memulakan kebakaran apabila tiada sesiapa di sekeliling, menyalakan api di bawah penyiram supaya ia tidak merebak, kerjasama kepada polis dan tekanannya kerana tidak dibayar gaji tepat pada masanya oleh majikannya.

    Defenden juga disokong oleh laporan psikiatri Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

    Peguam defendan juga berhujah bahawa dia mempunyai peluang untuk membuat perubahan terutamanya dengan kerjayanya sebagai cef, menerima pengiktirafan daripada Pusat Pembangunan Belia dengan cadangan untuk menjadi tutor masakan sebagai sebahagian daripada percubaannya dan telah bekerja dengan perniagaan lain dalam mengendalikan makanan.

    Mahkamah mendapati, kes itu diburukkan lagi dengan fakta bahawa tindakan defendan telah direncanakan dengan menyediakan minyak tanah pada malam sebelumnya, menyebabkan kesulitan kepada pemilik kafe dan mempertaruhkan nyawa orang lain.

    Mahkamah bersimpati dengan tekanan defendan dan mengecam layanan pemilik kafe terhadap defendan, bagaimanapun, berkata bahawa ini bukanlah memberi alasan untuk tindakan defendan.

    Pendakwa Syafina Abdul Hadzid mendedahkan, defendan yang berusia 22 tahun dan bekerja sebagai tukang masak di kafe tersebut telah membeli minyak tanah pada malam sebelumnya dan membawanya ke kafe itu dengan menaiki keretanya pada pukul 5 pagi, 14 Januari 2021.

    Dia menuang minyak tanah di dua tempat dan membakarnya, meninggalkannya lalu membakar lebihan lapisan pakaiannya dengan sisa minyak tanah dan kemudian membuang bakinya itu ke dalam sungai berhampiran.

    Defendan kemudian kembali ke kafe dan bertindak seolah-olah tidak bersalah.

    Polis yang berada di tempat kejadian ketika itu mengecam nombor plat kereta defendan melalui pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kafe itu.

    Siasatan lanjut menyebabkan polis pergi ke rumahnya dan membawanya untuk soal siasat di balai polis di mana dia mengaku melakukan kesalahan itu.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jentera pelancar udara Korea U jatuh ke Laut Kuning

    SEOUL, 31 MEI – Korea Utara menembak apa yang didakwanya sebagai ‘jentera pelancar angkasa lepas’ ke arah selatan hari ini, namun jatuh ke Laut...
    - Advertisment -