Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Seorang suami yang bertindak membakar rumahnya selepas ditinggalkan isteri, dihukum penjara dua tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, hari ini.
Hukuman dijatuhkan Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli terhadap Mohd Izzanuddin bin Abdullah Senang, 42, yang mengaku bersalah melakukan kerosakan dengan membakar rumahnya di Kampung Bukit Udal, Tutong kira-kira jam 6:10 petang pada 13 September 2013.
Pada hari kejadian, isteri tertuduh yang pulang selepas mengambil ‘asam kelumbi’ di belakang rumah, telah dimaklumkan oleh anaknya, yang tertuduh sedang minum minuman keras bersama seorang rakannya di ruang tamu. Tertuduh yang menyedari isterinya pulang, telah mengajaknya untuk minum bersama namun tidak dihiraukan.
Tertuduh kemudian mendapatkan isterinya dan memarahinya kerana bersikap ‘tidak acuh’ apabila diajak untuk minum.
Tertuduh kemudian membawa isteri dan anak-anaknya untuk menghantar rakannya itu pulang ke Bukit Beruang.
Selepas menurunkan rakannya, tertuduh menampar isterinya kerana cemburu dan mendakwa yang isterinya suka pada rakannya itu. Dalam perjalanan pulang, tertuduh menarik rambut isterinya apabila isterinya yang tidak tahan dengan sikap panas baran tertuduh memutuskan untuk keluar dari kereta.
Ketika memberhentikan kereta di lebuh raya berdekatan Bukit Udal, isterinya terus keluar.
Tertuduh kemudian memandu pergi dan meninggalkan isterinya, yang berjalan kaki pulang ke rumah.
Sebaik tiba di rumah, isterinya menyuruh anaknya memberitahu datuknya (bapa tertuduh) yang tinggal berhampiran, yang dia akan keluar dan meninggalkan rumah mereka.
Bapa tertuduh kemudian berjumpa dengan tertuduh dan sebaik bapanya pergi, tertuduh meletakkan beberapa kepingan kayu di ruang tamu dan menghidupkan api.
Dua dari anak-anaknya cuba memadam api tersebut tetapi dihalang oleh tertuduh.
Sebaik api mula merebak, tertuduh keluar dari rumah dan memandu pergi. Laporan polis dibuat pada hari yang sama dan tertuduh diberkas untuk siasatan, yang mana dia mengaku membakar rumahnya.
Kerosakan rumah akibat kebakaran itu dianggarkan berjumlah $6,000. Pendakwaan ke atas tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ratno Eddy Sophian bin Haji Zaidi.