Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Bakat jurugambar tempatan diiktiraf

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Seramai 80 orang telah menyertai Peraduan Fotografi Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 dengan 128 keping gambar telah diterima.

    Majlis penyampaian hadiah bagi peraduan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan itu telah diadakan hari ini di Balai Sarmayuda, DBP.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ketiga-tiga kategori peraduan itu ialah Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Awang Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos.

    Kategori A iaitu menggunakan kamera DSLR telah dimenangi oleh Awang Muhammad Haziq bin Abdul Hamid dengan kapsyen gambar ‘Menjunjung Kemerdekaan’ sekali gus membawa pulang wang tunai $800 berserta plak dan sijil penyertaan.

    Johan Kategori B iaitu menggunakan telefon bimbit atau tablet pula disandang oleh Hajah Dayang Surairah binti Haji Awang Mohammad dengan kapsyen gambar ‘Generasi Penerus Legasi’, dan memenangi wangi $500, plak berserta sijil penghargaan.

    Johan dalam Kategori B, Hajah Dayang Surairah menerima hadiah daripada tetamu kehormat.
    Dato Seri Paduka Awang Mohamed Riza menyaksikan gambar-gambar yang dihasilkan oleh peserta peraduan.

    Sementara itu, johan Kategori Khas yang memfokuskan kepada wajah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pula dimenangi oleh Haji Kahan bin Haji Nasir dengan kapsyen gambar ‘Aktiviti Sihat Bersama Rakyat’ dan beliau membawa pulang wang tunai $1,000, plak berserta sijil penghargaan.

    Daripada jumlah 128 keping gambar yang telah diterima, 60 keping gambar diterima bagi Kategori A, 11 keping gambar untuk Kategori B manakala Kategori Khas menerima seba-nyak 55 keping gambar.

    Terdahulu, Pemangku Pengarah DBP selaku Pengerusi Majlis, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, peraduan berkenaan merupakan kali ketiga diadakan yang mana penyertaan tahun ini telah mendapat sambutan baik berbanding tahun sebelumnya.

    Beliau seterusnya mengongsikan tema peraduan kali ini ialah ‘Mensyukuri Kemerdekaan’ yang mana peserta peraduan telah memaparkan kebijaksanaan dan keintelektualan dalam merakam detik bersejarah dengan menyampaikan setiap cerita yang berlaku antaranya semasa upacara perhimpunan agung, riadah berbasikal semangat Hari Kebangsaan dan lainnya.

    “Kesemua gambar yang menyertai peraduan tahun ini akan dipamerkan di keempat-empat daerah sebagai usaha pembangunan secara meluas, karya seni anak tempatan,” ujarnya.

    Antara lain objektif peraduan berkenaan adalah untuk memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur, bangsa dan agama selain mengekspresikan dan memvariasikan kreativiti masyarakat melalui seni fotografi seterusnya menjadi sumber pendapatan yang menjaga kemajuan sosioekonomi negara.

    Pelaksanaan peraduan berkenaan akan menjadi salah satu platform dalam mendukung dan menggalakkan penglibatan penggiat seni fotografi tanah air yang mempunyai kepentingan dalam pembinaan bangsa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...