Oleh Daniel Lim
BELAIT, 10 MAC – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat tahunan syarikat untuk memberi kembali kepada masyarakat serta menjaga persekitaran setempat dan semula jadi, Baker Hughes telah berjaya menjalankan aktiviti penanaman pokok pada awal pagi, hari ini.
Inisiatif tersebut telah disempurnakan dengan kehadiran lebih 50 pegawai dan kakitangan syarikat bagi acara penanaman yang diadakan di hutan sekitar yang terletak berhampiran Jabatan Perhutanan Kampung Sungai Liang. Acara yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan itu menyaksikan kumpulan tersebut menanam sebanyak 260 anak pokok di seluruh kawasan hutan tersebut.
Hadir mengetuai kumpulan pegawai dan kakitangan syarikat itu ialah Pengurus SEA HSE, Awang Abdul Khalid bin Haji Jalil. Turut hadir pada acara berkenaan ialah pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Belait yang diketuai oleh salah seorang Pegawai Perhutanan, Dayang Miza Farzana binti Awang Abdul Ghani.
Para pegawai dari jabatan tersebut telah membantu kumpulan berkenaan dalam membimbing mereka cara-cara menanam anak pokok dengan betul serta mengaplikasikan baja yang betul bagi memastikan anak pokok tersebut dapat membesar dengan sihat.
Awang Abdul Khalid semasa ditemu bual berkata penanaman anak pokok itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan kakitangannya tentang kepentingan menjaga alam sekitar tempatan, tetapi ia juga dijalankan untuk mengimbangi jejak karbon syarikat berikutan pembinaan fasiliti baharu mereka di Kuala Balai.
“Banyak pokok yang telah ditebang di fasiliti baharu di Kuala Balai, dengan itu kami menggantikannya dengan menanam bukan sahaja dalam jumlah yang sama, malah menambah bilangan anak pokok di sini, hari ini untuk mengimbangi kesan karbon pada alam sekitar,” tambahnya.
Dengan acara penanaman anak pokok telah berjaya disempurnakan, Baker Hughes kini menyasarkan untuk meneruskan pelbagai program tahunan yang merangkumi beberapa kempen derma darah dan derma dalam masa terdekat bertepatan dengan bulan puasa serta sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.