Bakri juara kejohanan dart

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 10 JULAI – Bakri bin Hamzah muncul juara di Kejohanan Terbuka Dart Kuala Belait 2019 anjuran Kelab Dart Daerah Belait, baru-baru ini, di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Mumong.

Hadir selaku tetamu kehormat di kejohanan tersebut, yang dikendalikan oleh Kelab C’ dapat Dartes (CCD) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, cawangan Daerah Belait, ialah Pengerusi Persatuan Dart Kebangsaan Brunei, Awang Serabah bin Haji Abas.

Seramai 16 peserta bersaing dalam kejohanan itu di mana ia dimulakan dengan format round robin, yang kemudian memasuki pusingan kedua.

Dalam peringkat akhir, Bakri muncul pemenang selepas mengatasi saingan daripada Rajis bin Judin, yang terpaksa akur meraih naib johan.

Sementara itu dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, Sufri bin Hamzah terpaksa berpuas hati meraih tempat keempat apabila tewas kepada Mohd Hardi bin Judin.

Tetamu kehormat kemudian berkesudian menyempurnakan penyampaian hadiah kepada empat pemenang teratas kejohanan.

Dengan kejayaan kejohanan itu, Kelab Dart Daerah Belait berharap untuk mengadakan lagi kejohanan seumpama itu di masa depan, dengan objektif untuk menyokong dan menarik lebih ramai penyertaan, bukan sahaja peserta dari Daerah Belait bahkan peserta dari keempat-empat daerah di negara ini yang meminati sukan dart.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama empat pemenang teratas dan jemputan khas.
Bakri ketika bersaing dalam peringkat akhir kejohanan menentang Rajis.