BAKTI anjur Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Puja Usia

BANDAR SERI BEGAWAN, RABU, 6 OKT – Bersempena dengan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ke-75, ahli-ahli Badan Kebajikan Isteri-isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran secara dalam talian, hari ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh pegawai dari Jabatan Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT) dan seterusnya bacaan Surah Yasin diikuti dengan Doa Kesyukuran. 

Hadir pada majlis tersebut ialah isteri pemerintah ABDB, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz, selaku yang dipertua BAKTI.

Majlis tersebut adalah salah satu aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh ahli-ahli BAKTI, namun dengan situasi terkini COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, majlis pada tahun ini telah diungkayahkan secara dalam talian.   

Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina turut menghadiri Majlis Doa Kesyukuran tersebut secara dalam talian, kelmarin. – Gambar serahan BAKTI