WASHINGTON, 18 JULAI – Kapten pasukan Wales, Gareth Bale membuat penampilan sulungnya dalam aksi Major League Soccer kelmarin dalam kemenangan 2-1 Los Angeles FC (LAFC) ke atas Nashville di Tennessee.
Cristian Arango membuka jaringan di minit ke-27 dan Jose Cifuentes menyumbang gol kedua LAFC pada minit ke-46 di awal babak kedua. Nashville hanya sekadar mendapat gol sagu hati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Hany Mukhtar pada minit ke-43. Manakala Bale yang juga merupakan pemenang lima kali Liga Juara-Juara UEFA, diturunkan pada minit ke-72.
Walaupun perjalanan LAFC di awal musim masih jauh, kehadiran bekas bintang Real Madrid dan Tottenham itu tetap disambut meriah oleh orang ramai di Geodis Park, termasuk kontinjen vokal peminat LAFC.
Ia merupakan perlawanan kelab kompetitif pertama Bale sejak 9 April.
Sejak itu, Bale telah membantu Wales mendapat tempat Piala Dunia pertama mereka sejak 1958 dengan kemenangan ke atas Ukraine dalam play-off antara benua pada Jun lalu.
Dia menandatangani kontrak dengan LAFC pada 27 Jun, dua minggu selepas pemain veteran Itali dan pertahanan Juventus, Giorgio Chiellini mengumumkan dia berpindah ke kelab tersebut.– AFP