Bale hampir pasti sertai Spurs

MADRID, 17 SEPT – Gareth Bale akan kembali semula ke Tottenham Hotspur dari Real Madrid yang akan dilengkapkan pada minggu ini, menurut ejen pemain tersebut, Jonathan Barnett memberitahu AFP hari ini.

Butiran terakhir perjanjian yang rumit akan diselesaikan oleh Madrid dan Spurs, dengan Bale dijangka untuk melengkapkan kepulangan kelab yang di-tinggalkannya dengan yuran rekod dunia sebanyak 100 juta euro pada 2013.

“Kami semakin hampir,” Barnett memberitahu AFP. “Saya rasa ia akan diselesaikan pada minggu ini.”

Madrid mendesak untuk perpindahan secara kekal untuk Bale dengan harapan mengurangkan beban pembayaran gaji pemain itu, yang bernilai kira-kira 30 juta euro.

Tetapi Tottenham mahu melengkapkan perpindahan Bale secara pinjaman sebagai sebahagian dari pakej yang termasuk dalam pembayaran separuh gaji pemain itu, serta yuran tambahan tertakluk kepada prestasi pemain kebangsaan Wales itu.

Ini bermakna jumlah keseluruhan kos yang dibayar oleh Spurs adalah sekitar 20 juta euro semusim.

Bale menjaringkan 105 gol dan melakukan 68 assist dalam 251 perlawanan untuk Real Madrid serta memenangi empat piala Liga Juara-Juara dan dua Piala La Liga.

Tetapi meskipun pernah melakukan persembahan yang memukau, tahun-tahun terawal Bale berada di Sepanyol telah dibelenggu dengan kecederaan sementara peranan pentingnya semakin berkurangan dalam musim-musim kebelakangan di bawah Zinedine Zidane. Pemain berusia 31 tahun itu akan menyertai Jose Mourinho di Spurs, yang menegaskan kelmarin bahawa dia cuba untuk mendapatkan penyerang tersebut ketika dia mengendalikan Real Madrid.

“Saya cuba untuk menandatanganinya semasa berada di Real Madrid dan presiden mengikut naluri saya dan semasa saya meninggalkan kelab, dia telah membawa Gareth Bale ke kelab,” kata Mourinho. “Itu bukan lagi rahsia dan Gareth (Bale) mengetahuinya.” Tottenham turut hampir melengkapkan perpindahan pemain bek kiri Real Madrid, Sergio Reguilon sekitar 30 juta euro. – AFP

Pemain sayap Real Madrid, Gareth Bale semakin hampir menyertai Spurs. Ejen pemain tersebut turut mengesahkan perjanjian dijangka akan dilengkapkan pada minggu ini. -AP