LOS ANGELES, 10 JULAI – Kapten pasukan Wales, Gareth Bale berkata pada Jumaat lalu bahawa peluang untuk menyumbang kepakaran dan kemahirannya kepada skuad muda Los Angeles FC (LAFC) telah mendorongnya untuk berpindah ke Major League Soccer (MLS).
“Saya merasakan ia seperti perkara yang wajar dan betul untuk dilakukan,” kata Bale.
Pemenang lima kali Liga Juara-Juara UEFA itu tiba di Los Angeles dengan menaiki kapal terbang di selatan California dan beberapa jam kemudian menyaksikan kelab baharunya itu menewaskan pasukan pelawat, Los Angeles Galaxy 3-2 dalam perlawanan derbi El Trafico.
“Melihat semangat para penyokong secara langsung buat kali pertama membuatkan saya terjaga,” kata Bale kepada penyiar perlawanan, ESPN. “Kedatangan saya disambut dengan baik dan sangat luar biasa. Saya merasa teruja untuk bermain di hadapan peminat seperti ini.”
Bekas penyerang Real Madrid dan Tottenham berusia 32 tahun itu sudah didaftarkan untuk beraksi tetapi Bale masih belum bertemu dengan rakan sepasukannya. Sementara itu, para penyokong merasa gembira melihat Bale tersenyum dan melambai kepada mereka dengan orang ramai melaungkan namanya sebelum perlawanan bermula.
Pada bulan lalu, Bale telah membantu Wales mara ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun.
Bale berkata bahawa dia juga bersedia untuk memulakan pengembaraannya di Amerika Syarikat dan persediaan untuk Piala Dunia Qatar pada akhir tahun ini.
Bale sebelum ini telah menandatangani perjanjian selama setahun hingga 2023 bersama LAFC.
LAFC yang juga pendahulu MLS, akan berkunjung ke Nashville dan Kansas City dalam tempoh dua minggu akan datang sebelum bermain di tempat sendiri pada 29 Julai menentang Seattle. – AFP