MADRID, 18 Sept – Gareth Bale memberikan respons kepada para pengkritiknya dengan penuh gaya apabila membuat penyudah menarik ketika Real Madrid kembali ke laluan kemenangan dengan menang 3-1 di Real Sociedad awal pagi tadi.
Borja Mayoral dihadiahkan permulaan dalam kesebelasan oleh Real dan berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk Real sebelum Kevon Rodrigues menyamakan kedudukan untuk Sociedad dan kemudian memasukkan bola ke gawangnya sendiri untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Dan Bale telah memastikan tiga mata Real apabila dia memintas Rodrigues dan melambungkan bol menewaskan Geronimo Rulli bagi jaringan keduanya musim ini.
Kemenangan melonjakkan juara Eropah itu ke tangga keempat dan empat mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona.
Bale telah menerima kritikan pedas dari media Sepanyol dan penyokong Real atas persembahan hambarnya ketika ketiadaan Ronaldo dalam beberapa minggu kebelakangan ini, yang menyaksikan Real tercicir mata di gelanggang sendiri kepada Valencia dan Levante.

“Ia sememangnya hebat untuk menjaringkan gol, tetapi apa yang paling penting adalah tiga mata untuk pasukan, mengembalikan pasukan ke laluan kemenangan,” kata Bale kepada stesen TV Sepanyol, Movistar.
“Saya hanya cuba sedaya upada dan bekerja keras dan itu sahaja yang saya mampu lakukan.
“Saya tidak boleh kawal apa yang berlaku, saya hanya boleh kawal bagaimana kerja keras saya di atas padang.
“Anda kadangkala alami keadaan tidak menentu dalam kerjaya anda, beginilah cara anda bangkit semula.”
Tanpa Cristiano Ronaldo, yang digantung perlawanan, dan Karim Benzema (cedera), Zinedine Zidane memberikan permulaan pertama buat Mayoral, 20, di barisan serangan.
Dan kepercayaan jurulatih dari Perancis itu terbayar dalam 20 minit pertama apabila Moyoral menendang masuk bola yang terlepas dengan rembatan jarak dekat.
Jaringan Mayoral bermakna Madrid kini sudah menyamai rekod dunia dengan menjaringkan 73 gol dalam perlawanan berturut-turut, sebelum ini dicipta oleh kelab Pele, Santos pada tahun 1960-an. – AFP