Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bali akan dibuka separa mulai 14 Okt

    JAKARTA, 4 OKT – Indonesia akan membuka semula pulau pelancongan Bali kepada pengunjung antarabangsa yang terpilih minggu depan, seorang menteri kanan berkata, selepas pandemik menjejaskan pusat peranginan itu yang merupakan salah satu sumber pendapatan utama negara.

    Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di pulau berkenaan akan dibuka kepada pengunjung antarabangsa dari Korea Selatan, China, Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Dubai dan New Zealand bermula 14 Oktober, menteri maritim dan pelaburan, Luhut Panjaitan memberitahu satu sidang media.

    Pembukaan separa itu, bagaimanapun, tidak termasuk Australia yang merupakan sumber utama pelancong sebelum pandemik

    “Lapangan Terbang Ngurah Rai di bali akan dibuka kepada antarabangsa pada 14 Oktober, selagi memenuhi peruntukan dan keperluan mengenai kuarantin, ujian COVID-19 dan kesiapsiagaan pasukan petugas,” Panjaitan berkata.

    Beliau tidak menjelaskan lanjut sama ada pelancong akan dapat mengunjungi pulau itu atau hanya bagi mereka yang mempunyai permit kediaman.

    Semua pengunjung antarabangsa akan diperlukan mempunyai bukti tempahan hotel bagi tempoh kuarantin sekurang-kurangnya lapan hari atas perbelanjaan sendiri, tetapi masih belum jelas mengenai sekatan-sekatan lain yang mungkin dikenakan.

    Indonesia terjejas teruk disebabkan varian Delta yang sangat mudah berjangkit dan pada pertengahan Julai lalu telah merekodkan lebih 56,000 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam sehari. – AFP

    Kanak-kanak dilihat berjalan membawa papan luncur air di pantai Kuta, pulau peranginan Bali, Indonesia, semalam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda