Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bali dibuka semula hari ini

    JAKARTA, 13 OKT – Pulau peranginan Indonesia, Bali bakal dibuka semula kepada pelancong antarabangsa esok, 14 Oktober.

    Sebanyak 8,000 bilik di 35 hotel tiga hingga lima bintang telah disediakan untuk kegunaan kuarantin dan penginapan semasa pelancong antarabangsa berada di pulau itu, kata Ketua Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia Hariyadi Sukamdani.

    “Kami telah membuat persiapan ini selama 19 bulan dengan penuh teliti. Kami telah bersedia menyambut tetamu antarabangsa,” kata Sukamdani kepada Xinhua pada Isnin.

    Pelancongan di Bali kembali pulih dalam beberapa minggu terakhir berikutan semakin banyak pelancong domestik datang dengan kadar penginapan hotel meningkat 35 peratus,” kata Sukamdani. Perkembangan itu berlaku berikutan penurunan ketara kes COVID-19 baharu harian Indonesia dalam beberapa hari terakhir. Dengan kelonggaran sekatan pergerakan awam itu, pusat beli-belah, pawagam dan restoran dibenarkan kembali beroperasi. Kerajaan turut mempercepat program vaksinasi.

    Timbalan Gabenor Bali, Tjokorda Oka Sukawati mengatakan beribu-ribu kemudahan pelancongan yang menarik, termasuk restoran, hotel dan pusat beli-belah di pulau peranginan itu sudah bersedia menyambut ketibaan pelancong asing dengan pematuhan protokol kesihatan yang ketat.

    Sementara itu, 99 peratus penduduk Bali telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 dan 80 peratus telah mendapat dos kedua. Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali, setiap pelancong diminta untuk melakukan pemeriksaan fizikal, antaranya ujian reaksi polimerase berantai (PCR) yang menyediakan bilik ujian PCR dengan kapasiti 3,840 ujian setiap hari. – Bernama

    Para pekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali, Indonesia pada 6 Oktober. Bali akan membuka sempadannya pada 14 Oktober. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda