Bali mula dibuka selepas tiga bulan

DENPASAR, 9 JULAI – Pulau peranginan Indonesia, Bali dibuka separa hari ini selepas ditutup selama tiga bulan kerana virus, membenarkan orang ramai dan pelancong yang terkandas menyambung semula aktiviti awam sebelum ketibaan pelancong luar negara pada September kelak.

Pantai-pantai dan jalan-jalan yang lazimnya sibuk di negara Asia Tenggara itu kosong dan lengang pada April kecuali untuk peronda khas bagi memastikan protokol kesihatan dipatuhi. Pihak berkuasa melarang aktiviti awam, menutup lapangan terbang dan kedai-kedai, bar dan restoran serta kolam renang awam dan banyak lagi tempat di pulau yang didiami lebih 4 juta orang itu.

Kerajaan tempatan mula melonggarkan sekatan hari ini, namun pelancong akan berdepan dengan peraturan ketat di hotel, restoran dan pantai-pantai, menurut Gabenor Bali, I Wayan Koster.

Koster pada sidang media menyatakan pulau itu akan dibuka beransur-ansur kepada penduduk tempatan dan pelancong asing yang terkandas. Bali akan dibuka kepada warga Indonesia dari bahagian lain pada 31 Julai manakala ketibaan pelancong asing dibenarkan bermula 11 September.

Kerajaan juga mengeluarkan garis panduan bagi pembukaan semula kawasan pelancongan dan mungkin menutup beberapa kawasan sekali lagi jika jangkitan meningkat, tambahnya.

“Pandemik menjejaskan teruk sektor pelancongan, tanpa kepastian bila ia akan berakhir,” kata Koster. “Kami perlu menghidupkan semula aktiviti ekonomi bagi menghalang Bali menghadapi masalah sosial baharu kerana tekanan ekonomi berterusan,” katanya.

Pelancongan merupakan punca utama pendapatan bagi pulau yang kebanyakannya didominasi Hindu di negara gugusan kepulauan Islam itu.

Lebih daripada 5 juta pelancong asing tiba di Bali setiap tahun sebelum pandemik yang mengakibatkan jumlah itu menjunam. – AP

Pelancong memakai penutup mulut dan hidung membawa papan luncur mereka di pantai Kuta, Bali, 9 Julai. Pulau peranginan Indonesia itu kini dibuka semula selepas tiga bulan lockdown kepada penduduk tempatan dan pelancong terkandas, dengan pelancong asing akan dibenarkan tiba dalam September. – AP