‘Balu harimau’ dipulaukan, hidup tersisih

SHYAMNAGAR, BANGLADESH – Ditinggalkan oleh anak lelakinya, dijauhi oleh jirannya dan dicap sebagai seorang ahli sihir.

Jenayah Mosammat Rashida? Suaminya dibunuh oleh seekor harimau Bengal.

Wanita seperti dirinya dipulaukan di kebanyakan kampung luar bandar di Bangladesh, di mana mereka dianggap sebagai punca suami mereka ditimpa nasib malang.

“Anak lelaki saya memberitahu saya bahawa saya adalah ahli sihir malang,” beritahunya kepada AFP di rumah papannya yang usang, di kampung Gabura, pinggir Sundarbans – hutan paya seluas 10,000 kilometer persegi yang terletak di antara Bangladesh dan India.

Suaminya meninggal dunia semasa mengumpul madu di hutan itu.

‘Balu harimau’ Rijia Khatun semasa ditemu bual di rumahnya di Shyamnagar. – AFP
Mosammat Rashida menyediakan makanan di rumahnya di Shyamnagar. – AFP

Gambar yang diambil pada 11 November 2019 menunjukkan sebuah kampung di Sundarbans di daerah Shyamnagar Upazila di mana harimau Bengal didakwa selalu datang mencari makanan. – AFP

“Pemburu madu memilih, mengumpul madu kebanyakannya di kawasan barat daya Sundarbans, merupakan habitat harimau yang makan orang,” beritahu pakar harimau Bengal di Universiti Jahangirnagar, Monirul Khan, kepada AFP.

Harimau adalah spesies terancam tetapi perubahan iklim dan pembangunan manusia telah menghapus habitat hutan haiwan liar ini, sering kali memaksa ia memasuki kampung untuk mencari makanan.

Badan hidupan liar menganggarkan terdapat kira-kira 100 ekor harimau di kawasan Sundarbans di Bangladesh.

Sekurang-kurangnya 519 lelaki terbunuh akibat serangan harimau di 50 kampung di satu daerah, tempat tinggal kepada setengah juta penduduk, di antara 2001 dan 2011, menurut Ledars Bangladesh, badan kebajikan yang membantu balu diintegrasi semula dalam kampung.

Kematian mereka memberikan tamparan hebat kepada wanita yang ditinggalkan.

Telah pun berdukacita kerana kehilangan teman hidup mereka, semalaman mereka menjadi ‘balu harimau’ – diperlakukan sebagai paria dalam rumah dan kampung mereka pada masa ketika mereka amat memerlukan sokongan.

Mereka sering ditinggalkan tanpa bantuan untuk menyara diri mereka atau keluarga.

Rashida patah hati namun tidak terkejut apabila anak lelakinya, berusia 24 dan 27 tahun, meninggalkannya dan dua adik mereka.

“Lagipun mereka membentuk sebahagian daripada masyarakat ini,” kata wanita berusia 45 tahun itu, sambil menyeka air mata yang mengalir di pipinya.

Pondoknya yang kecil tidak mempunyai atap, ia diterbangkan oleh siklon, namun tiada tawaran daripada jiran atau pegawai untuk menghulurkan bantuan, yang didakwanya membantu penduduk lain dalam kampung tetapi menjauhkan diri mereka daripadanya.

Sebaliknya, dia menggunakan kain tarpal lama sebagai penutup bumbung.

Di rumah sebelah, Mohammad Hossain sedang membaiki bumbung zink yang pecah, dan mengaku beliau telah disuruh oleh isterinya supaya jangan bercakap kepada Rashida. “Ia akan merosakkan kesejahteraan keluarga saya dan mungkin membawa nasib malang,” kata pemburu madu berusia 31 tahun itu.

Pegawai menafikan sengaja mengeluarkan Rashida daripada senarai bantuan yang disediakan oleh mereka selepas siklon.

Namun ketua Ledars Bangladesh, Mohon Kumar Mondal, berkata layanan teruk ‘balu harimau’ adalah meluas dalam komuniti amat konservatif itu, yang mempunyai prasangka berusia ‘berkurun-kurun lamanya.’

“Mereka (badan kebajikan) sedang berusaha untuk memulihkan maruah balu. Cabaran utama adalah mengubah kepercayaan orang,” jelas beliau.

“Perubahan adalah amat perlahan. Namun, saya boleh mengatakan bahawa terdapatnya kemajuan,” tambahnya, mendapati penduduk kampung yang lebih muda, lebih berpendidikan berasa kurang takut dengan balu.

Rijia Khatun, yang berkata dia telah belajar menghadapi situasi dipulaukan oleh penduduk kampung selepas kematian suami 15 tahun lalu, telah disara secara rahsia oleh anak buah dan keluarganya.

“Anak lelaki saya masih kecil. Namun tidak ada sesiapa yang menolong saya. Saya rasa teruk pada mulanya kerana mereka asyik menyalahkan saya atas kematian suami saya. Saya tidak tahu apa silap saya,” katanya, menambah: “Tetapi sekarang saya telah belajar untuk tabah dalam menghadapi kesusahan hidup ini.”

Anak saudaranya Yaad Ali, yang telah menyaksikan beberapa serangan termasuk yang menimpa bapa saudaranya, menjelaskan sementara beliau mahu membantu, beliau tidak boleh melakukannya di khalayak ramai.

“Kami perlu melakukannya (membantu Khatun) secara diam-diam, jika tidak penduduk kampung akan memulaukan kami juga,” akuinya.

Pemburuan madu mengikut tradisi telah dilihat sebagai pekerjaan yang lebih senang diceburi untuk penduduk kampung yang tidak mampu membeli peralatan atau bot untuk menjalankan pekerjaan utama lain di rantau, iaitu menangkap ikan.

Namun kebimbangan dibunuh oleh pemangsa – dan kesan ke atas isteri yang ditinggalkan oleh mereka – bermakna semakin ramai lelaki memilih untuk menjalankan perniagaan yang lain.

Harun ur Rashid, di mana bapanya dibunuh oleh harimau, berkata dia mahu menjadi nelayan sekarang, meskipun berasal daripada pemburu madu secara turun-temurun.

Pemuda berusia 21 tahun itu berkata: “Ibu saya tidak mahu saya berakhir seperti bapa saya. Dan saya mahu hidup dan menjaganya kerana dia telah banyak menderita dan bertahan penganiayaan selepas kematian bapa saya.” – AFP