Balu militan Abu Sayyaf dalang pengebom Filipina

MANILA, 26 OGOS – Dua penyerang wanita yang melakukan pengeboman berkembar dengan mengorbankan nyawa sendiri di selatan Filipina merupakan balu kepada militan-militan yang bekerja bagi kumpulan Abu Sayyaf berkaitan Islamic State (IS), kata ketua tentera hari ini.

Kedua-duanya meletupkan diri mereka dalam serangan serentak di pulau Jolo di wilayah Sulu yang majoritinya penduduk Islam pada Isnin, membunuh atau mencederakan puluhan pasukan keselamatan dan orang awam dalam serangan maut di negara itu tahun ini.

Jumlah kematian daripada letupan itu telah meningkat kepada 15 dengan 74 cedera, kata Angkatan Bersenjata Filipina (AFP) dalam satu kenyataan, menyalahkan Abu Sayyaf atas serangan tersebut.

“Kumpulan Abu Sayyaf tidak akan menghalang kami mahupun menggegarkan resolusi kami untuk menamatkan keganasan mereka,” kata Ketua Turus AFP, Leftenan Jeneral Gilbert Gapay.

“Tentera kami di lapangan terus dalam keadaan berwaspada untuk menghalang serangan serupa.”

Tidak ada kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab. Ketua Tentera, Leftenan Jeneral Cirilito Sobejana mengenal pasti pengebom wanita itu sebagai Inda Nay dan Nanah.

Dalam mesej kepada wartawan, Sobejana berkata Nanah adalah isteri kepada Norman Lasuca, yang meletupkan dirinya bersama penyerang lain di luar kem tentera Jolo pada Jun 2019, membunuh beberapa askar dan orang awam. – AFP

Polis menghalang laluan ke tapak insiden bom berkembar dua hari lalu, di bandar Jolo, Pulau Sulu pada 26 Ogos. – AP