BAM anjur perlawanan pemanas badan

KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menganjurkan satu lagi kejohanan pemanas badan sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober di Aarhus, Denmark, walaupun banyak negara mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan berpasukan itu.

Menurut BAM, Piala Presiden yang julung kali diadakan, menjadi kejohanan simulasi Piala Thomas dan Uber yang akan diadakan pada 16 dan 17 September di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, melibatkan semua 20 pemain yang disenaraikan akan ke kejohanan berprestij itu.

Badan induk sukan badminton kebangsaan itu telah menganjurkan Kejohanan Jemputan BAM, satu pertandingan acara individu pada bulan lepas.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dalam satu kenyataan berkata kejohanan simulasi berkenaan akan memberi gambaran awal mengenai Piala Thomas dan Uber memandangkan kebanyakan pemain tidak pernah beraksi dalam pusingan akhir kejohanan itu. – Bernama