Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BAM sedia bantu Qi Xuan dengan rawatan pemulihan

    KUALA LUMPUR, 21 OKT – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia menawarkan pemain beregu wanita profesional Malaysia, Ng Qi Xuan, untuk menjalani rawatan pemulihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) susulan kecederaan lutut yang dialaminya pada kejohanan badminton Malaysia Super 100 yang baru berakhir.

    Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata walaupun pemain berusia 25 tahun itu merupakan pemain profesional, beliau tetap seorang pemain Malaysia dan pernah bernaung di bawah badan induk tersebut.

    “Ya, kami telah mengadakan perbincangan dalaman tentang cara kami dapat membantunya. Kami sedia membantu jika dia ingin menjalani rawatan pemulihan, tetapi mungkin dia boleh melakukannya di ABM.

    “Saya juga telah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dan beliau) juga telah menawarkan bantuan seberapa yang boleh,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

    Ketika ditanya sama ada Qi Xuan perlu menjalani pembedahan, Kenny berkata beliau belum menerima sebarang pengesahan mengenai perkara tersebut tetapi memaklumkan bahawa Qi Xuan masih dirawat di hospital dan BAM merancang untuk menziarahinya dalam masa terdekat.

    Qi Xuan dilaporkan mengalami kecederaan lutut semasa cuba membalas serangan pihak lawan dengan smash yang menyebabkan dia dan pasangannya, Yap Rui Chen, terpaksa menarik diri ketika mereka hanya satu mata sahaja untuk meraih kemenangan. – Bernama

    Aksi Pei Kee dan Mei Xing ketika pada pusingan separuh akhir Kejohanan Malaysia Super 100 di Stadium Juara, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda