BAM senaraikan pemain terbaik Piala Thomas, Uber

KUALA LUMPUR, 6 SEPT – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menyenaraikan 20 pemain terbaik bagi membawa cabaran negara ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber yang berlangsung di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan.

Menurut kenyataan media BAM, pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia diberi kepercayaan mengetuai skuad Piala Thomas, bersama-sama tiga lagi pemain perseorangan terdiri daripada pemain profesional Liew Daren, serta dua pemain muda Cheam June Wei dan Leong Jun Hao.

Pemilihan June Wei dan Jun Hao memang sudah dijangka kerana kedua-dua pemain perseorangan lelaki negara itu mempamerkan prestasi membanggakan ketika Kejohanan Jemputan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, bulan lepas.

Cabaran beregu lelaki dipikul pasangan utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama-sama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu profesional Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Sementara itu, skuad wanita pula diketuai pemain perseorangan utama negara Soniia Cheah, pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina S.Kisona, Goh Jin Wei dan Eoon Qi Xuan manakala cabaran beregu wanita pula diketuai gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Pearly Tan-M.Thinaah. Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama juara 13 kali yang juga musuh tradisi Indonesia, Belanda dan England dalam saingan Piala Thomas. – Bernama