BAMLS adakan mesyuarat dwitahunan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Lebih 200 orang ahli Persatuan Saintis-saintis Makmal Perubatan Brunei Darussalam (BAMLS) telah menghadiri Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan BAMLS kali kesembilan yang berlangsung di Hotel Wafa, Kompleks Annajat, hari ini.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua BAMLS, Dr Hajah Surita binti Haji Mohd Taib antara lain menjelaskan mesyuarat tersebut adalah untuk memberi peluang dalam sama-sama meneliti dan membincangkan laporan pelbagai perkembangan dan kemajuan yang dilaksanakan sepanjang tahun 2016 hingga 2018 oleh BAMLS.

Beliau seterusnya berharap agar BAMLS menjadi sebuah persatuan yang boleh diteladani atau menjadi petanda aras oleh lain-lain persatuan di negara ini dalam pelbagai aspek berhubung bidang sains makmal perubatan.

Sehubungan itu, beliau juga mengalu-alukan ahli BAMLS untuk sama-sama menyumbangkan idea atau memberi cadangan membina sekali gus bekerjasama dalam menjayakan aktiviti dan peranan di dalam persatuan itu.

Antara agenda yang disentuh dalam mesyuarat tertutup itu ialah menyentuh laporan kedudukan kewangan dan juga laporan Jawatankuasa Eksekutif bagi tahun 2016 hingga 2018 dan seterusnya pembubaran lantikan ahli kaunsel bagi tahun 2016 hingga 2018 dan lantikan ahli kaunsel baharu bagi tahun 2019 hingga 2021.

Antara lain objektif BAMLS adalah untuk meningkatkan dan menggalakkan latihan dalam makmal sains perubatan di negara ini selain mengekalkan dan meningkatkan standard etika profesional dalam makmal perubatan sains.

Selain itu, ia juga menggalakkan kajian dan pertukaran idea berkaitan makmal sains perubatan serta meningkatkan keberkesanan makmal sains perubatan dengan mempromosikan dan menyediakan kerja pembangunan dalam bidang ini.

Pada majlis itu, Dr Hajah Surita turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli-ahli kaunsel bagi tahun 2016 hingga 2018.

Gambar ramai ahli BAMLS yang hadir pada mesyuarat tersebut.