Banci 2021 secara online

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) akan mengendalikan Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) ke-6 bagi Negara Brunei Darussalam pada 2021 bermula Januari hingga Ogos.

BPP yang diadakan setiap 10 tahun itu bertujuan untuk mengumpulkan maklumat yang komprehensif dan terkini mengenai jumlah penduduk dan ciri-ciri demografi, sosial dan ekonomi penduduk serta jumlah atau stok perumahan dan ciri-ciri keadaan perumahan di negara ini.

Dalam hubungan itu, portal BPP 2021, www.brucensus.gov.bn memberikan pelbagai maklumat untuk makluman orang ramai termasuk mengenai sejarah dan latar belakang banci, data dan hasil daripada banci terdahulu, aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tempoh banci dan soalan-soalan lazim.

“Portal ini dihasratkan untuk menjadi sebagai salah satu saluran untuk menyebarkan maklumat mengenai BPP 2021 untuk menggalakkan kerjasama orang ramai,” jelas Ketua Pengarah JPES, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Hajah Mariah binti Haji Yahya dalam kata alu-aluannya pada Sambutan Hari Statistik Sedunia 2020 dan Pelancaran Portal BPP 2021 yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran portal itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyaksikan pameran mini semasa Sambutan Hari Statistik Sedunia 2020 dan Pelancaran Portal Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2021. – Gambar oleh James Kon

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, tetamu jemputan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Hajah Mariah berkata lagi bahawa satu pembaharuan dalam BPP 2021 ialah memperkenalkan kaedah pengisian maklumat banci secara dalam talian yang dikenali sebagai e-Census.

Beliau menjelaskan bahawa selain Negara Brunei Darussalam, beberapa buah negara lain juga menggunakan kaedah e-Census itu buat kali pertama termasuk Malaysia, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Kaedah e-Census itu akan bermula pada 20 April hingga 21 Jun 2021 di mana ia akan memudahkan orang ramai untuk mengisikan maklumat mereka melalui portal brucensus.

Hajah Mariah berkata lagi, “Bagi meningkatkan kadar respons penggunaan e-Census, JPES akan mengadakan program-program publisiti, termasuk jerayawara dan klinik e-Census ke kementerian-kementerian, mukim dan kampung serta lokasi-lokasi tumpuan orang ramai di keempat-empat daerah.

“Adalah diharapkan e-Census dapat membantu dalam mengurangkan keperluan untuk mengadakan temu duga secara bersemuka, terutama dalam keadaan kita pada masa ini masih mengamalkan langkah berjaga-jaga berikutan situasi jangkitan COVID-19.”

BPP 2021 merupakan banci yang ke-6 dikendalikan yang meliputi semua orang, sama ada rakyat Negara Brunei Darussalam, penduduk tetap atau penduduk sementara yang tinggal di negara ini pada 2021.

BPP 2021 akan dikendalikan dalam tiga peringkat di mana peri-ngkat pertama ialah penyenaraian tempat kediaman (houselisting) mengikut kampung atau kawasan di setiap daerah di seluruh negara bermula 20 Januari hingga 21 Februari 2021, peringkat kedua ialah pengendalian e-Census bermula 20 April hingga 21 Jun 2021 dan peringkat ketiga ialah temu duga bersemuka bermula 20 Julai hingga 2 Ogos 2021.

Majlis diteruskan dengan persembahan video BPP 2021 dan pameran mini statistik yang turut disertai Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi pameran yang diadakan sehingga 22 Oktober di ruang lobi utama, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.