Banci majikan, pekerja secara dalam talian

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melaksanakan Banci Tahunan Majikan dan Pekerja, Gaji, Pendapatan dan Jam Bekerja bagi tahun 2021 menggunakan kaedah dalam talian melalui Brunei Reporting System (BRS) di laman sesawang www.business.mofe.gov.bn/SitePages/OBR.aspx.

Menurut kenyataan jabatan tersebut yang dikeluarkan di sini, hari ini, memohon kerjasama semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun di sektor swasta yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam, sama ada yang mempunyai Lesen Pekerja Asing (LPA) ataupun yang hanya menggaji tenaga kerja anak-anak tempatan yang masih berkhidmat sehingga atau pada 30 Oktober 2021 untuk melengkapkan maklumat-maklumat pekerja (tempatan dan asing) termasuk majikan atau pemilik atau pengurus berkenaan ke dalam borang banci yang disediakan di laman sesawang yang disediakan.

Manakala bagi perkhidmatan rumah tangga atau persendirian adalah di kecualikan daripada melengkapkan maklumat banci berkenaan.

Maklumat banci berkenaan bolehlah dilengkapkan dengan menggunakan nama pendaftaran majikan atau pemilik atau pengurus yang diperolehi melalui pendaftaran E-Darussalam.

Tatacara melengkapkan maklumat banci juga boleh dimuat turun dari laman sesawang www.business.mofe.gov.bn/SitePages/OBR.aspx atau www.labour.gov.bn.

Maklumat banci yang telah lengkap hanya akan dapat diterima melalui kaedah dalam talian dilaman tersebut bermula 31 Oktober 2021 dan tarikh akhir penerimaan maklumat banci pada 30 November 2021.

Sehubungan itu, disarankan pihak berkenaan agar melengkapkan maklumat banci tersebut yang mana bagi tujuan mengelakkan penyalahgunaan maklumat sulit banci oleh pihak ketiga yang telah diamanahkan untuk melengkapkan maklumat banci mereka.

Resit Penyata Banci Majikan dan Pekerja 2020 yang telah dikeluarkan bagi Banci Tahunan Majikan dan Pekerja 2020 adalah dimansuhkan dan tidak dapat digunakan lagi mulai 31 Oktober 2021.

Manakala bagi Banci Tahunan Majikan dan Pekerja, Kadar Gaji Pendapatan dan Jam-jam Bekerja adalah mengikut Peruntukan Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99 dibawah Seksyen 3(1).

Mana-mana majikan yang sengaja menolak atau mengabaikan untuk memberikan butir-butir atau maklumat yang diperlukan dalam masa yang dibenarkan atau dengan sengaja memberi atau butir-butir atau maklumat palsu dan enggan menjawab atau dengan sengaja memberikan jawapan palsu dalam soalan yang perlu untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau butiran yang dikehendaki di bawah akta ini adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (1).

Pesalah boleh dikenakan denda $2,500 dan penjara enam bulan dan jika berterusan denda sebanyak $50 sehari akan dikenakan.