Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bandar Brunei zaman 1950-an

    Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

     

    MASIH segar dalam ingatan penulis bagaimana suasana ibu kota Bandar Brunei pada tahun 1950an sehingga 1960-an, seperti yang terdapat dalam gambar hitam putih yang disediakan oleh penulis menunjukkan deretan kedai-kedai lama yang berdindingkan papan kayu dan atap berdaun nipah.

    Suasana Jalan Roberts dan Panggung Boonpang lama juga telah memberikan rasa nostalgik buat masyarakat Brunei. Begitu juga Padang Besar, Sekolah Melayu Kajang, Pekan Brunei (berdekatan dengan Makam Raja Ayang), Kampung Kianggeh, Kampung Berangan, Balai Polis Lama (berhadapan dengan Padang Besar bersebelahan Kantin Polis) dan juga pasar ikan yang sudah terbina sejak seawal tahun 1959.

    Juga dimuatkan dalam gambar lama ini adalah tempat perhentian bas dan teksi yang terletak di kawasan lapang berdekatan dengan Panggung Bolkiah bagi kemudahan masyarakat yang tinggal jauh dari bandar. Warga yang menaiki bas dan teksi ini adalah terdiri daripada masyarakat Kedayan, Dusun, Cina dan juga Melayu Brunei dengan membawa hasil jualan mereka ke pusat bandar pada ketika itu.

    Gambar pemandangan dari atas pula menunjukkan sebahagian kawasan Kampung Sultan Lama berdekatan dengan Jalan Pretty, di mana rumah-rumah belum lagi banyak didirikan.

    Pemandangan ibu kota Bandar Brunei pada tahun 1950an.
    Pemandangan ibu kota Bandar Brunei pada tahun 1950an.
    Pasar Lama yang terletak di ibu kota Bandar Brunei pada tahun 1960an.
    Pasar Lama yang terletak di ibu kota Bandar Brunei pada tahun 1960an.
    Kenangan penulis semasa menaiki feri atau ‘bantun’ dari Kuala Baram menuju Lutong dan Bandar Miri pada tahun 1957.
    Kenangan penulis semasa menaiki feri atau ‘bantun’ dari Kuala Baram menuju Lutong dan Bandar Miri pada tahun 1957.
    Tempat perhentian bas pada tahun 1960an.
    Tempat perhentian bas pada tahun 1960an.

    Kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh penulis ialah semasa berkunjung ke negara jiran iaitu Bandar Miri dengan menaiki feri atau ‘bantun’.

    Perjalanan menaiki feri bermula dari Kampung Sungai Teraban Daerah Belait melalui Sungai Tujuh, kemudian sesampainya di Kuala Baram, feri akan digunakan sekali lagi menuju ke Lutong sebelum terus menuju ke Bandar Miri.

    Pada zaman itu, perjalanan ke negara jiran bukanlah sesuatu yang mudah dan banyak liku-liku perlu dihadapi. Gambar yang diberikan oleh penulis menunjukkan para penumpang beserta dengan beberapa buah kenderaan kecil, kereta, bas dan lori turun dari Feri Kuala Baram menuju Bandar Miri. Cerita pahit manis ini sentiasa terpahat dalam ingatan penulis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda