Bandar China swab jutaan lagi penduduk

BEIJING, 1 OGOS – Beberapa bandar China melaksanakan saringan besar-besaran melibatkan jutaan penduduk dan melaksanakan sekatan perjalanan baharu, ketika pihak berkuasa bergelut mengekang penularan COVID-19 terbesar dalam tempoh beberapa bulan.

China hari ini merekodkan 75 kes baharu dengan 53 penularan tempatan, manakala satu kluster berkait dengan sebuah lapangan terbang di timur negara itu yang kini menular ke lebih 20 bandar dan 12 wilayah.

Secara geografi, penularan itu adalah yang terbesar melanda China dalam tempoh beberapa bulan selepas negara itu berjaya mengawal pandemik itu dalam sempadannya tahun lalu.

Namun, kejayaan itu mungkin tidak kekal lama selepas varian Delta yang mudah berjangkit, menerobos lapangan terbang Nanjing di wilayah Jiangsu, bulan lalu.

Pekerja menyemburkan disinfektan selepas penduduk dijangkiti COVID-19 di Yantai, wilayah Shandong pada 1 Ogos. – AFP

Insiden itu memaksa pihak berkuasa menjalankan tiga siri saringan terhadap 9.2 juta penduduk di bandar itu dan melaksanakan perintah berkurung kepada ratusan ribu penduduk, dalam usaha mengawal penularan, yang didakwa berpunca daripada varian Delta dan musim puncak pelancong.

Pihak berkuasa bergelut mengesan lebih 5,000 individu yang menghadiri festival teater di Zhangjiajie, bandar pelancongan di wilayah Hunan yang melaksanakan perintah berkurung terhadap semua 1.5 juta penduduknya serta menutup kawasan tarikan pelancong.

Para pegawai berkata penularan kecil di Zhangjiajie telah dicetuskan oleh pengunjung dari Nanjing dan telah menularkan penyakit itu kepada lebih 20 buah bandar.

“Zhangjiajie kini menjadi sifar lapangan baharu bagi penularan epidemik China,” kata virologi Zhong Nanshan kepada wartawan hari ini.

“Kita perlu memperluaskan pencarian demi mengesan kontak rapat varian Delta,” katanya. – AFP