Bandar kapal selam Rusia ditutup

MOSCOW, 5 JUN – Sebuah bandar limbungan kapal Artik di Rusia yang terkenal dengan pengeluaran kapal selam nuklear, Severondvinsk, akan ditutup hari ini untuk membendung wabak koronavirus di sana tatkala kes disahkan di negara mencecah 450,000.

Gabenor rantau Arkhangelsk tempat terletaknya Severodvinsk telah menandatangani satu perintah untuk menutup akses ke bandar yang mempunyai lebih 180,000 penduduk mulai tengah malam ini, tanpa menetap tarikh ia berakhir.

Polis telah pun mengendali tempat pemeriksaan di jalan masuk pada hari ini, lapor agensi berita tempatan Region 29. Severodvinsk dianggap pusat penularan dengan lebih 1,000 kes disahkan, menurut pemerhati kesihatan serantau.

Ia telah pun mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung serta sarung tangan.

Semalam, 57 kes baharu dilaporkan di bandar itu, termasuk 30 di kalangan pekerja limbungan kapal.

Di bawah USSR, Severodvinsk merupakan bandar tertutup yang memerlukan pas khas untuk masuk disebabkan penglibatannya dalam pembinaan kapal selam nuklear. – AFP