‘Bandar kuno’ kembali tambat hati pelancong

TEOTIHUACAN, MEXICO – Selepas berbulan-bulan bertapa disebabkan pandemik koronavirus, ‘Bandar Dewa’ yang terkenal di Mexico beransur-ansur kembali hidup tatkala pelancong kembali ke piramid agung Teotihuacan.

Untuk kali pertama sejak ia ditutup pada Mac, puluhan pelancong dengan menggunakan penutup mulut dan hidung bersiar-siar pada Khamis di sepan-jang Jalan Maut yang terbentang di antara Piramid Mata Hari dan Bulan.

“Ia sungguh cantik,” kata Angelica Tellez, yang datang dari barat bandar Guadalajara untuk melawat tapak arkeologi pra-Hispanic yang terletak di luar ibu negara Mexico.

“Kawasan yang luas terbentang ini…Segala-galanya kelihatan sungguh mengagumkan kepada saya,” tambah gadis berusia 18 tahun itu, matanya bersinar-sinar penuh emosi dan penutup mulut dan hidungnya melorot turun ke bawah hidungnya.

Pelancong berjalan-jalan dengan rasa kagum di tengah anjing terbiar yang merayau-rayau di bandar, yang dibina sekitar tahun 200SM dan ditinggalkan lapan atau sembilan abad kemudian.

Seorang penjual kraf tangan meletakkan produknya untuk dipamerkan di tapak arkeologi Teotihuacan, salah satu tarikan pelancong di Mexico, selepas ia dibuka semula pada 10 September 2020. – AFP

Bagi kebanyakan pelawat, ia merupakan kunjungan pertama mereka sejak pelonggaran langkah kuarantin baru-baru ini yang diperkenalkan dalam usaha untuk mengawal penularan koronavirus.

Pihak berkuasa berharap 3,000 orang akan melawat Tapak Warisan Dunia UNESCO yang baru dibuka semula itu setiap hari – 30 peratus daripada kapasiti biasanya.

Pelawat diwajibkan mematuhi langkah-langkah pembersihan dan dilarang mendaki dua piramid atau ‘Temple of the Plumed Serpent’.

Tony Tang, seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun dari Beijing yang menetap di California, telah merancang untuk berkunjung ke Mesir tetapi penerbangannya dibatalkan disebabkan kekurangan penumpang.

“Sebaliknya saya datang ke sini,” kata beliau. “Saya merancang melawat pira-mid lain..Ia amat menakjubkan.”

Pekerja bekerja keras untuk mencabut rumput-rumpai yang telah tumbuh tinggi di kawasan itu, seperti koronavirus yang masih berleluasa di Mexico, di mana terdapatnya hampir 70,000 kematian akibat dari COVID-19.

Paul Rallo, seorang DJ berusia 42 tahun dari Barcelona, rasa wujudnya kesedaran yang lebih tentang risiko di Mexico berbanding di Sepanyol, dengan langkah-langkah seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk tapak dilaksanakan.

“Saya rasa bertuah,” katanya, menambah beliau datang ‘dengan segera’ untuk melawat bandar itu selepas ia dibuka semula.

“Sukar dipercayai bagaimana mereka boleh membinanya pada masa itu. Saya mahu melihatnya secara lebih dekat.”

Separuh daripada 110 gerai pelancong telah dibenarkan untuk dibuka semula, menawarkan pelbagai hasil kraf tangan tempatan yang berwarna-warni serta replika piramid.

Sementara kebanyakannya adalah produk ‘Buatan China’, Jose Luis Fernandez berkata beliau sendiri mengukir patung kecilnya dengan tangan daripada batu gunung berapi hitam.

“Kami berasa lega kerana dapat bekerja sekali lagi dan memperoleh wang untuk menyara keluarga kami,” kata lelaki berusia 47 tahun itu, sambil menawarkan patung kecilnya yang dijual dengan harga 800 pesos setiap satu.

Seorang tuan punya gerai yang baru sahaja membuka bidai menyapu habuk di rak dengan kain kuning sementara seorang lagi menyapu lantai di depan gerainya.

“Kami datang berbekalkan harapan beberapa pelanggan akan membeli sesuatu,” kata Lourdes Guerra Oliva, 58, yang tinggal tidak jauh dari tempat itu.

Beliau berkata beliau mampu mencari nafkah dalam beberapa bulan ini dengan menjual tingkap kaca berwarna yang dibuatnya kepada gereja di kawasan itu.

Moises Oliva, 51, berkata dia mampu bertahan sekatan berbulan-bulan lamanya disebabkan kebun sayur-sayurannya, tetapi berasa lega dapat kembali semula ke Teotihuacan.

“Naluri saya memberitahu bahawa kehidupan akan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya. – AFP