Bandar pintar Chongqing Liangjiang catat kemajuan

CHONGQING, CHINA, 17 OGOS – Kawasan Baharu Chongqing Liangjiang semakin giat dalam usaha mereka ke arah sebuah wilayah yang terbuka dan pintar, dengan satu pertunjukan langsung promosi dalam talian yang berinovatif dilancarkan 13 Ogos lalu.

Pertunjukan langsung itu telah diadakan di lebih 10 platform media dan memaparkan pelbagai produk pelancongan dan produk kebudayaan kreatif dari Liangjiang, yang telah menarik lebih 20 juta tontonan, demikian menurut Jawatankuasa Pentadbiran Kawasan Baharu Chongqing Liangjiang.

Pertunjukan langsung itu merupakan satu aktiviti promosi pelancongan kebudayaan berskala besar yang diterajui oleh kerajaan yang telah menarik penyertaan masyarakat yang meluas.

Terletak di persimpangan Sungai Yangtze dan Sungai Jialing, Chongqing adalah destinasi pelancongan popular dari dalam dan luar negara hasil daripada landskap bandar tiga dimensi dan ciri-ciri kebudayaan yang unik.

Liangjiang adalah sebuah tempat terbuka. Menampilkan platform terbuka seperti Pelabuhan Guoyuan, Kawasan Pelabuhan Terikat Lianglu Cuntan dan Bandar Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Yuelai, Kawasan Baharu Liangjiang mempunyai satu rantaian bekalan global dan satu sistem logistik antarabangsa yang maju.

Lebih 50,000 produk eksotik dari 20 buah negara tersedia di pusat pameran dan perdagangan komoditi Jalur dan Laluan di Kawasan Pelabuhan Terikat Lianglu Cuntan, agar orang ramai di Chongqing dapat membeli produk berkualiti tinggi dari seluruh dunia.

Ia juga sebuah bandar pintar. Di Taman Pintar Lijia, taman pintar pertama di China, kehidupan pintar dipamerkan di merata tempat, kereta penumpang tanpa pemandu berulang-alik di jalan raya, peranti pintar memantau suhu orang ramai dalam tepat masa, robot memainkan muzik merdu.

Sebagai tempat tetap bagi Ekspo Pintar China, Bandar Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Yuelai menggunakan teknologi pintar untuk memperkasakan tempat pameran dan menjadi ‘dewan sambutan’ Chongqing untuk menghiburkan pengunjung di seluruh dunia. – Bernama