Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Berikutan dengan kejadian hujan lebat dan banjir pada masa ini, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan Nasihat Kesihatan Semasa Banjir menerusi siaran media, hari ini.
Dalam siaran media itu, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang terjejas dan dilanda banjir supaya mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindarkan sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan berlakunya penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan dan air seperti kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan penyakit-penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan sebagainya.
Antara langkah-langkah yang perlu diambil semasa dan selepas berlakunya banjir termasuklah memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar; memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol; memasak semua makanan dengan sempurna dan mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih serta sabun selepas menggunakan tandas.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan dan tidak membuang sampah merata-rata, serta memastikan saliran air tidak tersumbat oleh sampah sarap, lumpur dan dahan-dahan pokok dan mendapatkan rawatan jika mengalami penyakit seperti demam panas, sakit perut, cirit-birit, muntah dan lain-lain.
Orang ramai juga diminta untuk mengutamakan keselamatan khususnya kanak-kanak agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti lemas, kecederaan serta jangkitan penyakit dan mengelakkan daripada menyentuh dawai elektrik yang jatuh berdekatan air banjir.
Bagi mereka yang mempunyai luka-luka dan penyakit kulit ataupun yang mempunyai masalah kesihatan kronik, terutama sekali kencing manis seboleh-bolehnya mengelakkan daripada terkena air banjir kerana air banjir yang kotor boleh menyebabkan jangkitan.
Walau bagaimanapun, jika mengalami kecederaan kecil yang terdedah kepada air banjir, dinasihatkan supaya memastikan luka-luka tersebut dibersihkan dan mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.
Sementara itu, bagi pesakit-pesakit yang menghidapi penyakit kronik, hendaklah memastikan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi dan jika kekurangan bekalan dinasihatkan untuk menghubungi pusat-pusat kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan bekalan ubat.