SELAMAT datang ke Monowi, Nebraska, yang hanya mempunyai seorang penduduk. Menurut data Banci AS 2010, Monowi adalah satu-satunya bandar di negara itu yang mempunyai seorang penduduk.
Sebagai satu-satunya penduduk yang tinggal di Monowi, Elsie Eiler, berusia 84 tahun, dia juga adalah datuk bandar, kerani, bendahari, pustakawan, pelayan restoran dan banyak lagi di sana. Setiap tahun dia menggantung papan tanda pilihan raya datuk bandar dan kemudian mengundi untuk dirinya sendiri. Undang-undang persekutuan juga memerlukan beliau untuk menghasilkan pelan jalan perbandaran setiap tahun bagi mendapatkan pembiayaan negeri itu dan membayar AS$500 bagi cukai air dan elektrik. Dia juga perlu membuat kertas kerja agar status Monowi masih diperbadankan dan terhindar dari menjadi sebuah bandar berhantu.
“Saya gembira di sini. Saya dibesarkan di sini, saya sudah terbiasa dengan keadaan ini dan saya tahu dengan apa yang saya mahukan,” tambah Eiler.
Pada tahun 1930-an, Monowi adalah tempat perhentian bagi Elkhorn Railroad yang mempunyai penduduk 150 orang, mempunyai tiga buah kedai runcit, beberapa restoran dan juga mempunyai sebuah penjara. Eiler dibesarkan di sebuah ladang di pinggir bandar tersebut dan bertemu dengan suaminya, Rudy, semasa di sekolah rendah. Setelah menamatkan pengajian dari sekolah menengah, Rudy telah memasuki Tentera Udara Amerika Syarikat. Sementera suaminya berkhidmat dalam Perang Korea, Eiler telah berpindah ke Bandar Raya Kansas untuk meneruskan cita-citanya bekerja dalam syarikat penerbangan.
“Saya telah bekerja di salah sebuah syarikat penerbangan dan menjadi seorang pragmugari, sebuah cita-cita yang telah lama saya idamkan,” katanya kepada BBC. “Saya tidak begitu kisah terhadap bandar raya ini; Monowi sentiasa menjadi tempat tinggal saya.”

Eiler berkahwin dengan Rudy pada usia 19 tahun dan mereka telah membesarkan dua orang anak di Monowi. Pada tahun 1971, pasangan itu memutuskan untuk membuka semula restoran lama yang dimiliki oleh bapa Eiler. Semasa restoran lama Monowi dibuka, bagaimanapun, penduduk di bandar kecil itu mula menurun. Selepas Perang Dunia II, ekonomi luar bandar mulai jatuh dan seluruh komuniti masyarakat mula menghilang dari kawasan bandar AS itu.
Pada tahun 1960, gereja yang ada di bandar itu telah melakukan pengebumian terakhirnya, untuk ayah Eiler dan kemudian antara tahun 1967 dan 1970, pejabat pos dan satu-satunya kedai runcit di sana telah ditutup. Manakala sekolahnya pula ditutup pada tahun 1974.
Pada pertengahan tahun 70-an, kedua-dua anak Eiler telah berpindah untuk mencari pekerjaan dan pada tahun 1980, penduduk bandar itu telah menjunam turun kepada 18 orang. Dua puluh tahun kemudian, tinggal Rudy dan Eiler yang terkandung dalam populasi Monowi sehinggalah Rudy meninggal dunia pada tahun 2004.
Walaupun hidup bersendirian, Eiler mengatakan bahawa dia tidak kesepian. Enam hari seminggu, dia membuka restorannya dari pukul 9 pagi dan menghabiskan masanya di sana selama 12 jam setiap hari, menyediakan makanan dan minuman kepada pelanggan setia yang mengenalinya.
“Ia seperti satu keluarga yang besar,” kata Eiler. “Terdapat pelanggan generasi keempat dan kelima berkunjung ke sini. Ianya sungguh menyentuh perasaan apabila orang yang anda kenal sejak dari mereka masih anak damit lagi, kini telah membawa anak-anak damit mereka untuk melihatkannya kepada saya.”
Di samping restoran lama itu, terdapatnya juga sebuah bangunan awam di Monowi iaitu Perpustakaan Rudy. Sebagai seorang yang suka membaca, Rudy berharap agar koleksi peribadinya itu menjadi perpustakaan awam.
Monowi kini mempunyai sebuah perpustakaan awam kecil yang mengan-dungi lebih 5,000 buku dan majalah. Eiler, secara tidak langsung, menjadi seorang pustakawan. Satu kunci kelihatan tergantung di restoran lama itu bagi memudahkan orang ramai untuk menyaksikan dan membaca di dalamnya.
Apabila Rudy meninggal dunia, Monowi telah mengikuti jejak langkah Gross dan Nebraska untuk menjadi satu-satunya bandar yang diperbadankan di AS yang hanya mempunyai seorang penduduk. Dalam tempoh 14 tahun sejak itu, para pengunjung dari seluruh dunia datang berkunjung ke bandar itu dan mengisi empat buku tamu beserta tanda tangan mereka.