Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bandarku Ceria sepi

    Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) menjelaskan bahawa Program Bandarku Ceria akan menangguhkan sebarang aktiviti atau acara yang dijalankan secara berpasukan atau berkumpulan yang melibatkan peserta yang ramai seperti acara larian, walkaton, dan seumpamanya yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

    KHEDN dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menerangkan lanjut bahawa sebaliknya, aktiviti riadah yang dilakukan secara individu dan juga aktiviti berjaja adalah berjalan seperti biasa.

    Pada masa yang sama, KHEDN menasihatkan orang ramai bahawa ketika mengunjungi Program Bandarku Ceria, mereka harus mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan kebersihan diri, mengelakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan orang ramai serta juga mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam.

    Tinjauan Media Permata, hari ini, menyaksikan ibu negara yang biasanya ramai pengunjung kelihatan sunyi dan hampir kosong, menunjukkan orang ramai mengambil serius mengenai wabak COVID-19 di Brunei.

    Keadaan ini juga sudah setentunya menjejaskan sumber pendapatan beberapa penjaja terutama mereka yang hanya bergantung mata pencarian melalui perniagaan tersebut.

    Suasana sepi di ibu negara semasa Program Bandarku Ceria, kelmarin.

    Salah seorang penjaja Hajah Normah binti Salleh yang dilihat masih berjaja berkata, mereka mengamalkan kebersihan yang ketat antaranya memakai topeng muka semasa memasak dan berjual, menggunakan hand sanitizer secara kerap dan menjauhi kontak fizikal bersama pelanggan.

    Beliau bersama keluarganya sudah berada di bandar seawal jam 3:30 pagi lagi untuk bersiap-siap bagi menjalankan perniagaan mereka.

    Menurutnya, sebelum ini, jualan mereka laris seawal jam 9 pagi lagi, namun meman-dangkan jumlah pelanggan yang berkurangan pada hari ini, mereka terpaksa menunggu untuk makanan jualan mereka dibeli hingga mencapai sasaran minimum sebelum mereka menutup gerai.

    Penjaja-penjaja lain yang tidak datang didapati tidak mengetahui mereka masih dibenarkan berjaja di kawasan bandar semasa Bandarku Ceria berlangsung.

    Seorang penjaja barangan antik, Dayang Poujiah binti Haji Wahab Hoo mengongsikan bahawa mereka sebenarnya sebelum ini kurang pasti sama ada mereka dibenarkan untuk berjaja.

    Ini adalah kerana maklumat yang sahih tidak sampai sepenuhnya kepada mereka terutama mengenai penjajaan, ujarnya.

    Para penjaja berharap agar perniagaan mereka ini akan masih dapat dijalankan pada minggu hadapan dan minggu-minggu yang akan datang.

    Media Permata juga sempat menemubual salah seorang pengunjung, Haji Ismail bin Haji Abdul Majid yang berkata bahawa kebanyakan penjaja yang selalunya ada di sana tidak mengetahui akan kebenaran berjaja membuatkan Bandarku Ceria pada hari ini semakin nampak sunyi.

    “Ini tidaklah dihairankan kerana wabak ini baru memasuki negara dalam beberapa hari yang lalu. Bukan di sini sahaja yang nampak berkurangan, malah di masjid semasa Sembahyang Jumaat nampak berkurang juga oleh kerana ramai individu yang berjaga-jaga dan panik,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda