Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bandi Amuk promosi gaya hidup sihat

    BERGELAR anak seni selama 35 tahun sudah pasti memberi pelbagai kenangan pahit dan manis buat Bandi Amuk.

    Pemilik nama sebenar Nasabandi Jumat ini boleh dikatakan sudah lali dengan asam garam dan dugaan yang diharungi sepanjang tempoh itu.

    Selepas mengundur diri daripada kumpulan Febians, Bandi terus mencipta nama dan dikenali sebagai Bandi Amuk. Dengan imej bertopeng muka, Bandi nyata selesa dengan penampilannya yang sekali gus memberi keunikan dengan identiti tersendiri berbanding artis lain.

    Biarpun namanya masih diingati, jarang sekali kita melihat kemunculan Bandi di televisyen, malah jika di stesen radio hanya lagu lamanya yang masih berkumandang.

    Mengakui masih aktif menyanyi, penyanyi rock yang cukup terkenal dengan slogan ‘Yeah Yeah’ ini berkata, dia tetap menerima undangan untuk membuat persembahan pentas.

    Bandi Amuk mengakui sudah berhenti merokok bagi menitik beratkan soal kesihatannya.

    Walaupun pada satu ketika, kita mendengar khabar mengenai Bandi yang sudah berhijrah dan mendalami ilmu agama, bapa kepada lima anak ini berkata, perkara itu tidak menghalangnya terus menyanyi.

    Malah, katanya, dia juga mengambil peluang dalam setiap persembahannya un-tuk menyampaikan nasihat berunsur keagamaan dengan cara tersendiri.

    Menyingkap sisi sedih yang dilalui dalam kehidupannya sehingga pernah mengganggu fokusnya dalam bidang nyanyian, Bandi berkata, ia berlaku apabila anak keempatnya Muhammad Saiful Affique, 20, mengalami masalah ketumbuhan di bahagian belakang paru-paru.

    Namun, tidak ada sesiapa yang dapat menghalang kuasa Tuhan, hampir tiga tahun berlalu, anaknya kembali sihat seperti sedia kala.

    “Bagi saya, kesihatan itu satu keutamaan tambahan pula dengan pengalaman dilalui anak saya. Sebab itu dalam setiap persembahan, selain pesan jangan tinggalkan solat, saya akan ingatkan supaya jaga kesihatan,” katanya.

    Selain anaknya yang menjadi sebab dia menerima tawaran itu, kurangnya kesedaran dalam soal kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia juga antara sebab Bandi mahu membantu dalam memberi kesedaran mengenai pentingnya menjaga kesihatan.

    Dia mengakui sudah tujuh tahun berhenti merokok apabila memikirkan kesihatannya, tambahan pula dengan usia mencecah 53 tahun, sudah tiba masanya mengajak orang ramai menjaga kesihatan bukan saja golongan tua, tetapi yang muda.

    Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Bandi berkata, dia kini masih memenuhi undangan persembahan pentas selain dalam perbincangan untuk mengeluarkan lagu baru yang diterbitkan seorang komposer Singapura.

    “Sekarang ini, kalau orang suruh saya buat album saya tak mahu sebab susah hendak jual. Saya juga bukan tak mahu buat single, tetapi setiap kali buat persembahan orang masih nak dengar lagu lama saya.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda