Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banduan cemerlang dalam SPM demi pengampunan

    MARANG – “Enam A yang amat berharga untuk pengampunan walaupun masa depan masih tidak mampu diduga,” luah banduan Tahanan Limpah Sultan (TLS)  di Penjara Marang selepas mengetahui dirinya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Hassan, 21 (bukan nama sebenar) yang ditemu ramah media berkata dirinya mungkin akan kekal di situ, jika dirinya sendiri tidak berusaha melakukan perkara yang terbaik untuk mendapatkan pengampunan.

    Kisah Hassan yang memohon supaya orang ramai mendoakannya selepas menduduki peperiksaan SPM tahun lepas pernah tular di media sosial dan menurutnya doa itu juga memungkinkan dia berjaya malah tidak mustahil untuknya ‘bebas’ dari penjara selepas disabit pada tahun 2016 atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

    “Malam tadi saya tak dapat lelap mata. Macam-macam bermain di fikiran. Saya sangat berharap keputusan cemerlang untuk buka mata banyak pihak.

    “Orang lain mungkin akan sibuk mengisi kemasukan ke universiti. Saya juga ada keinginan, walaupun belajar secara dalam talian tetapi ia perlukan perbelanjaan sendiri, bimbang juga keluarga tidak mampu,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.

    Pengarah Jabatan Penjara Terengganu Penolong Kanan Komisioner Ahmad Saidi Hamzah (enam, kiri) dan Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff (lima, kanan) serta barisan guru bergambar bersama banduan Penjara Marang yang memperoleh keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ketika ditemui pada Program Menuai Cemerlang SPM di Sekolah Integriti Penjara Marang. – Bernama
    Banduan Penjara Marang bersorak kegembiraan selepas memperoleh keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). – Bernama
    Banduan Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Penjara Marang yang dikenali sebagai Hassan menunjukkan keputusan enam A yang diperoleh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). – Bernama

    Menurut Hassan, sebelum ini ibunya pernah hadir ke penjara dan terkejut hingga mengalirkan air mata apabila melihat keputusan peperiksaan percubaan (4A 2B 1C) dan kali ini beliau pasti ibunya akan berbangga dengan rekod yang lebih baik.

    “Semasa di luar (bebas), saya tak dapat gembirakan mak. Hanya sekarang baru berpeluang. Saya memang nak keluar, jadi orang awam. Semua nak buat untuk mak,” katanya yang mengakui kesalahan yang dilakukan sebelum ini akibat pengaruh kawan dan kemiskinan.

    Sekolah Integriti Penjara Marang merekodkan keputusan cemerlang tahun ini apabila kesemua 16 pelajar yang mengambil SPM mencapai rekod lulus iaitu seorang pelajar memperoleh enam A (Hassan), manakala empat lagi pelajar masing-masing memperoleh lima A, empat A, tiga A, dua A dan 11 pelajar mendapat satu A. Paling membanggakan apabila semua pelajar memperoleh A bagi  subjek Sains.

    Sementara itu seorang lagi banduan, Alif, 22, (bukan nama sebenar) turut mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya memperoleh keputusan yang baik meskipun kali terakhir belajar, semasa darjah enam.

    Beliau yang menjalani hukuman penjara sejak tahun 2018 hanya berpeluang belajar selama enam bulan sahaja selepas dia membuat keputusan untuk menduduki SPM tahun 2019.

    Katanya, peperiksaan itu untuk membuktikan kepada ibunya bahawa dia boleh berubah dan mahu dirinya diterima semula dalam keluarga setelah dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan akibat melakukan rompakan.

    Beliau mengakui kejayaan yang diperoleh itu hasil dorongan rakan di penjara dan teknik guru mengajar yang lebih berbentuk kuiz dan latihan secara berkumpulan.

    “Saya sendiri tidak sangka daripada tak pernah ke sekolah menengah akhirnya ambil SPM. Dapat pulak A dalam Sains…sungguh tak sangka. Tekad saya nak sambung belajar. Saya akan bebas nanti,” katanya.

    Menurut Alif, selepas darjah enam beliau dijaga oleh datuknya ekoran kedua ibu bapanya berpisah dan tekad bekerja sebagai nelayan demi kelangsungan hidup namun episod hitam menimpa dirinya apabila adiknya (dijaga ibunya) menerima pelbagai ugutan kerana berhutang sebanyak RM200 hingga memaksanya yang terdesak merompak sebuah kedai serbaneka.

    Kesalahan itu merupakan kali pertama dilakukannya, namun anak sulung daripada tiga beradik itu bersyukur kerana ia memberi peluang untuknya mendapat pendidikan yang lebih baik.

    Sementara itu, penyelia sekolah tersebut Nor Amalia Kasim berkata keputusan kali ini sangat membanggakan dan ia dicapai hasil kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut menyalurkan dana bagi membeli buku sekolah dan buku rujukan.

    “Ia juga sokongan daripada pihak penjara, pegawai yang menjaga kebajikan pelajar dan guru yang mengajar tanpa berbelah bahagi. Belajar di penjara pastinya tidak indah seperti di luar sana.

    “Harapan saya pelajar ini akan melangkah lebih jauh. Semoga masyarakat juga akan menerima bekas banduan. Bukan semua daripada mereka akan melakukan kesalahan yang sama,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda