Banduan ditahan semula selepas 46 tahun

WASHINGTON, 7 OGOS – Seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pelarian hampir 50 tahun dan dipercayai menggunakan identiti sebagai warga emas ditahan di bandar di New Mexico, kata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) semalam.

Luis Archuleta, yang kini berusia 77 tahun, melarikan diri dari Penjara Colorado pada 1974, ketika menjalani hukuman kerana menembak dan mencederakan seorang pegawai polis di Denver.

Menurut FBI, dia yang ditahan kelmarin, didapati menetap di bandar Espanola di New Mexico selama 40 tahun, menggunakan nama Ramon Montoya.

Agen Khas FBI Denver, Michael Schneider, dalam satu kenyataan, berkata penahanan ini adalah isyarat jelas kepada sesiapa yang melanggar undang-undang tidak kira di mana saja bahawa “FBI akan menahan anda, tidak kira berapa lama masa diperlukan atau sejauh mana anda melarikan diri, untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Ketua Polis Denver, Paul Pazen berkata Archuleta akan dihantar ke Colorado untuk dihadapkan pertuduhan kerana melarikan diri dari penjara.

“Tempoh yang berlalu tidak akan menghapus atau menggugurkan kesalahan masa lampaunya,” katanya. – AFP