Banduan Labuan terima vaksin

LABUAN, 19 JULAI – Seramai 180 banduan di Penjara Labuan mula mendapatkan suntikan vaksin dos pertama semalam, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

“Langkah pemberian vaksin ini sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan, petugas dan tahanan,” katanya kepada Bernama hari ini. Beliau berkata kluster Tembok Labuan membabitkan petugas penjara dan banduan adalah sebanyak 194 kes sehingga hari ini.

“Masih ada sebilangan kecil banduan yang belum mendapatkan suntikan hari ini kerana menunjukkan gejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan,” katanya. Pengarah Pusat Koreksional Labuan Abd Rauf Lang Pasih berkata langkah pemberian vaksin berjalan lancar membabitkan 90 peratus daripada jumlah 200 orang yang dipenjarakan. – Bernama