JOLO, Filipina, 16 Julai – Lelaki-lelaki bersenjata yang disyaki dari kumpulan Abu Sayyaf telah menculik empat orang pekerja di sebuah sekolah di wilayah selatan Filipina yang dikunjungi Presiden Rodrigo Duterte untuk melawat pasukan tentera yang berjuang memerangi militan-militan, menurut para pegawai hari ini.
Kira-kira 20 orang militan merempuh masuk ke sebuah halaman sekolah rendah di bandar Patikul, wilayah Sulu sejurus selepas tengah malam semalam dan menculik lima orang tukang cat dan tukang kayu, salah seorang daripada mereka yang berjaya melarikan diri dan menghubungi pihak polis.
Pasukan tentera kemudian berjaya menyelamatkan seorang lagi pekerja.
Duterte memberikan pingat kepada tentera-tentera yang tercedera ketika lawatan singkat beliau semalam ke Sulu, sebuah wilayah yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam yang terletak kira-kira 950 kilometer selatan Manila.
Presiden telah mengarahkan pasukan kerajaan supaya memusnahkan militan-militan dengan kegiatan mencari wang tebusan yang masih menahan beberapa orang tebusan warga asing dan warga Filipina di hutan-hutan Sulu.

Sementara itu, 14 orang banduan, termasuklah para pejuang Abu Sayyaf yang disyaki dan peniaga dadah melarikan diri dari penjara di sebuah bangunan baru yang juga menempatkan ibu pejabat polis di halaman kerajaan di Jolo, bandar utama Sulu, menurut para pegawai.
Tiga daripada mereka yang melarikan diri telah ditembak mati oleh pihak polis dan seorang lagi ditembak dan ditangkap.
Pasukan tentera membantu pihak polis menjejaki yang lain dengan menggunakan dron tentera dan anjing penghidu, menurut kenyataan polis.
Penculikan baru dan kejadian lari dari penjara memperlihatkan pelbagai cabaran keselamatan yang dihadapi oleh pentadbiran Duterte di selatan, yang mana beribu-ribu orang tentera secara berasingan memerangi militan yang bekerjasama dengan kumpulan IS yang mengepung bandar Marawi pada 23 Mei.
Selepas hampir dua bulan bertempur, lebih 530 orang, termasuklah 405 militan dan 95 tentera dan polis telah terbunuh dalam keganasan di bandar tepi tasik, pusat agama Islam di sepertiga selatan negara Katolik Roman itu. – AP