Banduan larikan diri ditangkap di Bali

DENPASAR, INDONESIA, 24 FEB – Seorang warga Rusia yang disenaraikan oleh Interpol sebagai banduan yang akan diekstradisi, ditangkap di pulau pelancongan Indonesia, Bali hari ini selepas 13 hari melarikan diri dengan pasangannya untuk mengelakkan pengusiran, kata pegawai.

Andrei Kovalenka, yang menggunakan nama samaran Andrew Ayer, ditangkap pada tahun 2019 dan disabitkan kerana memiliki lebih daripada 500 gram ganja. Dia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, walaupun biasanya tuduhan itu dikenakan penjara minimum empat tahun dan maksimum 20 tahun.

Selepas menamatkan hukumannya, dia menunggu dihantar pulang ke Rusia pada 11 Februari tetapi melarikan diri semasa berpindah dari satu pusat imigresen ke pusat lain ketika dia dikunjungi oleh rakannya dari Rusia, Ekaterina Trubkina, kata polis. Eka Budianto, ketua bahagian imigresen Bali, mengatakan kedua-duanya ditangkap di sebuah vila pada awal hari ini selepas berpindah untuk mengelak daripada dikesan.

Mereka sedang menunggu dihantar pulang ke Rusia. Polis enggan menyatakan tuduhan dikenakan ke atas Kovalenka berdasarkan notis Interpol. – AFP

Kovalenka (kanan) dan Trubkina berdiri semasa sidang media di pejabat imigresen di Bali, kelmarin. – AP