Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banduan mungkin lari ke Thailand

    YANGON, 17 Sept – Lebih 30 orang tahanan yang meloloskan diri dari penjara Myanmar mungkin melarikan ke Thailand, menurut seorang pegawai hari ini, sehari selepas mereka merampas sebuah trak sampah dan melanggar pintu penjara.

    Banduan itu melarikan diri dari penjara Hpa-An di negeri timur Karen yang bersempadan dengan Thailand, pagi kelmarin.

    Media negeri berkata 10 daripada 41 banduan yang melarikan diri telah berjaya ditangkap semula, manakala pihak polis sedang menjejaki kampung berhampiran bagi memburu mereka yang masih lepas.

    Insiden banduan melarikan diri itu telah menyebabkan penduduk kampung berhampiran penjara itu merasa takut, kata pegawai tempatan Khin Thet Mar kepada AFP.

    “(Banduan itu) tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan atau wang untuk digunakan, jadi penduduk setempat fikir mereka mungkin mengancam penduduk kampung untuk mendapat apa yang mereka perlukan,” katanya.

    Keadaan pagar masuk ke penjara Hpa-An yang dirosakkan oleh banduan yang melarikan diri di negeri timur Karen, Myanmar. – AFP

    “Mereka mungkin melarikan diri ke Thailand namun pihak berkuasa di sini sedang berusaha untuk menangkap semula banduan itu dengan menghalang laluan yang mungkin digunakan mereka.”

    Banduan itu berjaya melarikan diri selepas menarik pemandu keluar dari trak sampah dan kemudian menerjah pintu penjara.

    Trak yang digunakan itu dijumpai semalam, kelihatan terkandas di lumpur kira-kira 200 kilometer ke arah sempadan Thailand, menurut akhbar yang dikendalikan oleh kerajaan, The New Global Light.

    Laporan itu berkata, ketua geng itu telah menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol kerana melakukan jenayah ‘pengedaran dadah, memiliki senjata haram dan percubaan membunuh’. Secara keseluruhan, 29 daripada 41 tahanan telah dijatuhkan hukuman, manakala 12 daripadanya masih menghadapi perbicaraan, kata Khin Thet Mar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda