Banduan, penghuni Pusat Al-Islah bebas jangkitan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Sejak penularan wabak COVID-19 bermula di negara ini, salah satu pemantauan yang dibuat ialah pemeriksaan ke atas banduan-banduan dan orang yang di bawah jagaan kerajaan termasuk penghuni Pusat Al-Islah.

Dalam hubungan itu, ujian saringan SARS-CoV-2, sudah dan masih dijalankan ke atas mereka dan setiap banduan atau tahanan baharu akan diuji sebelum mereka memasuki pusat berkenaan serta mana-mana banduan yang mempunyai simptom akan turut diuji bagi virus SARS-CoV-2.

Setakat ini, hasil daripada ujian yang dijalankan, tidak ada sebarang jangkitan dikesan dan keadaan adalah terkawal, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Ia juga, tambahnya, melibatkan ujian saringan yang dilakukan ke atas pekerja-pekerja dan pegawai yang bertugas di pusat-pusat berkenaan. Mengulas mengenai penggunaan penutup mulut dan hidung serta pelindung muka murid-murid sekolah, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa penggunaan pelindung muka (face shield) adalah diutamakan bagi kakitangan perubatan di mana ia berperanan untuk melindungi mereka daripada pendedahan aerosol.

Oleh itu, bagi kanak-kanak, jelasnya, penggunaan pelindung muka memberikan pelindungan tambahan kepada mereka tetapi pelindungan yang penting bagi mereka adalah penutup mulut dan hidung kerana jika mereka hanya menggunakan pelindung muka tanpa penutup mulut dan hidung, mereka boleh melindungi aerosol yang datang kepada mereka tetapi ia tidak akan melindungi mereka daripada pendedahan titisan-titisan dalam ruangan mereka.

“Saya berpendapat adalah lebih penting untuk memakai penutup mulut dan hidung tetapi penggunaan pelindung muka memberikan manfaat tambahan,” ujarnya.

Yang Berhormat Dato turut menambah bahawa dalam tempoh dua minggu ini, Kementerian Kesihatan akan melakukan ujian saringan secara rambang ke atas guru-guru di mana lebih daripada seribu ujian saringan akan dilaksanakan bagi semua sekolah dengan jadual telah dibuat bagi mereka melakukan swabbing.

Pegawai perubatan di Indonesia ketika membuat ujian saringan SARS-CoV-2. Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dalam pada itu turut menjalankan ujian saringan ke atas banduan dan penghuni Pusat Al-Islah, namun keputusan adalah negatif. – AFP