Banduan tinggalkan nota akan kembali ke penjara

ROM, 9 JUN – Dua banduan yang melepaskan diri dari sebuah penjara di Rom pada minggu lalu meninggalkan nota kepada pengawal, berkata mereka mempunyai urusan untuk diselesaikan tetapi akan kembali tidak lama lagi, lapor akhbar hari ini.

Dua sepupu, Davad Zukanovic, 40 dan Lil Ahmetovic, 46, lepas lari dari penjara Rebibbia semalaman pada 2 Jun dengan memanjat tembok menggunakan hos air yang ditinggalkan di perkarangan.

Namun sebelum mereka melepaskan diri, mereka meninggalkan satu nota dalam sel mereka menjelaskan mereka mempunyai sebab-sebab peribadi untuk melarikan diri, menurut akhbar Repubblica.

Mereka didorong oleh ‘keperluan untuk melindungi anak mereka daripada urusan haram yang dilakukan oleh mereka,” kata akhbar, memparafrasakan isi kandungan surat.

Banduan berkenaan berkata hanya mereka yang dapat membetulkan keadaan, kerana isteri mereka juga berada dalam penjara.

Pada akhir nota yang ditandatangani, Zukanovic dan Ahmetovic berjanji akan pulang dalam masa 15 hari sebaik sahaja segala-galanya telah diselesaikan, kata akhbar. – AFP