Bangga anak mendapat pendidikan Islam

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 5 Jan – Anak-anak yang terpilih memasuki sekolah Arab sudah pastinya menjadi kebanggaan para ibu bapa kerana sekolah Arab mampu memberikan pendidikan Bahasa Arab dan agama lebih mendalam, selain mata pelajaran akademik serupa dengan mana-mana sekolah di negara ini.

Rasa bangga dan kesyukuran ini dilahirkan oleh beberapa orang ibu bapa pelajar Ma’had Islam Brunei yang memulakan pembelajaran mereka di sana minggu ini.

Bapa salah seorang pelajar baru Ma’had Islam Brunei, Awang Mohd Eddie Sufyan bin Abdullah Langkat berbangga dengan anak perempuannya, Dayang Nurul Farhana mengikut jejak langkah abangnya, Awang Muhd Eddie Ikhwan yang juga bersekolah di Ma’had Islam Brunei dalam Tahun 7.

Menurut Mohd Eddie Sufyan lagi, kemasukan murid-murid atau pelajar ke sekolah Arab ini bukanlah mudah kerana ia dipilih berdasarkan keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Calon Arab. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang berkeinganan anaknya memasuki ke sekolah Arab perlu ada sokongan dan dokongan semangat kepada anak-anak.

Apa yang pasti, beliau berharap kedua-dua anaknya itu nanti akan berjaya dalam apa saja bidang yang ditawarkan di Ma’had Islam Brunei.

Dayang Rosmalini dan anaknya, tidak menyangka berpeluang berinteraksi bersama Yang Berhormat Pehin ketika beliau mengadakan lawatan ke Ma’had Islam Brunei kelmarin.
Dayang Rosmalini dan anaknya, tidak menyangka berpeluang berinteraksi bersama Yang Berhormat Pehin ketika beliau mengadakan lawatan ke Ma’had Islam Brunei kelmarin.
Awang Mohd Eddie Sufyan bersama isteri hadir bagi menemani anaknya, Dayang Nurul Farhana yang baru sahaja bersekolah di Ma’had Islam Brunei.
Awang Mohd Eddie Sufyan bersama isteri hadir bagi menemani anaknya, Dayang Nurul Farhana yang baru sahaja bersekolah di Ma’had Islam Brunei.

Manakala, ibu kepada Awang Mohd Alif Waliuddin bin Mohd Nazri, Dayang Rosmalini binti Haji Abu Bakar berharap anak sulungnya ini yang baru masuk ke Sannah 5, Ma’had Islam Brunei akan dapat menjadi contoh tauladan kepada empat lagi adik-beradiknya yang lain.

Beliau yang tidak menyangka anaknya terpilih ke sekolah itu, berharap anaknya akan berjaya dalam mengejar cita-citanya. Beliau juga percaya Ma’had Islam Brunei mampu mewujudkan suasana persekolahan yang baik dan akan dapat mengukuhkan lagi pegangan agama anaknya dalam kehidupannya kelak.

Beliau juga sempat bertemu dan berinteraksi dengan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa lawatannya ke sekolah itu hari ini.

Menurutnya, Yang Berhormat Pehin menyarankan agar sentiasa memberikan sokongan, semangat serta memberikan komitmen yang lebih mendalam kepada anak-anak yang bersekolah di Sekolah Arab.