Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Bangga persembahkan muzik tradisi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 26 JULAI – Persembahan muzik tradisi Brunei yang dipersembahkan oleh 7 Rumpun Keluarga Nayan (7RKN) dari Mukim Lamunin adalah antara yang menarik perhatian semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, pagi tadi.

    7RKN yang secara keseluruhannya mengandungi lebih kurang 400 orang sungguh berbesar hati apabila diamanahkan untuk membuat persembahan berbentuk muzik tradisi menggunakan alat muzik tradisional Brunei seperti gong, gambus, bonggo, tambur dan lainnya.

    Salah seorang ahli 7RKN, Haji Mohd Paizal bin Haji Piluk ketika ditemui menzahirkan perasaan teruja dan bangga apabila diberikan kepercayaan untuk membuat persembahan secara langsung di hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    “Saya mewakili 7 Rumpun Keluarga Nayan ingin menyembahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Keputeraan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, semoga kekal qarar memerintah negara,” ujarnya.

    Salah seorang penduduk Daerah Tutong yang mengambil bahagian semasa majlis tersebut ialah Haji Mohammad Syafien bin Yandol daripada Puak Sang Jati Dusun semasa ditemui pihak media turut menzahirkan perasaan syukur apabila berpeluang untuk bersua muka dengan Baginda Sultan.

    Ahli 7 Rumpun Keluarga Nayan (7RKN) dari Mukim Lamunin bergambar ramai semasa majlis ramah mesra yang diadakan di Daerah Tutong, kelmarin.

    “Jika dilihat tahun ini jumlah pengunjung sedikit berkurangan, namun langkah-langkah keselamatan turut dilakukan, dengan mematuhi SOP bagi memastikan keselamatan semua pengunjung yang hadir ke majlis pada pagi ini,” katanya.

    Pada masa yang sama beliau turut mengambil kesempatan untuk menyembahkan ucapan selamat hari keputeraan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Bahasa Dusun.

    “Selamat grigom yang ke turu pod enom tahun” (Selamat menyambut hari keputeraan yang ke-76 tahun).

    Selain itu, antara yang turut terlibat sama semasa majlis tersebut ialah pertubuhan-pertubuhan beruniform seperti Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.

    Menurut Penolong Pesuruhjaya Persatuan Pengakap Daerah Tutong Bahagian Pentadbiran dan Latihan, Dayang Effayane binti Haji Salam, seramai 50 orang ahli persatuan terlibat dalam menjayakan majlis berkenaan.

    “Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana pada tahun ini berpeluang dan berasa sangat gembira dapat sekali lagi menyambut hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sambil menunjukkan rasa taat setia,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...