Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Bangga, syukur genggam ijazah

    Oleh Nurdiyanah R.

    Saban tahun, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus melahirkan golongan cendekiawan bak cendawan tumbuh selepas hujan.

    Sebagai sebuah institusi tinggi Islam yang tulen, ia tetap teguh menanai komitmen berterusan dalam menyediakan program-program yang berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa bagi mendukung usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Hal ini jelas terbukti menerusi pencapaian para graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka di universiti berkenaan bukanlah hanya untuk mendapatkan ijazah semata-mata bahkan, masing-masing memiliki kewibawaan dalam menerokai bidang penyelidikan baharu yang selari dengan keperluan negara dan bakal menyumbang serta memberi nilai tambah dan berimpak kepada masyarakat sejagat.

    Sehubungan itu, penulis berkesempatan menemui beberapa orang graduan bagi menyelami perkongsian mereka mengenai penyelidikan tahun akhir yang berjaya diketengahkan yang sememangnya memiliki kekuatan tersendiri dengan matlamat-matlamat tertentu semasa berlangsungnya Majlis Haflut Al-Takharruj UNISSA ke-12, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Terokai pengurusan pembangunan sahsiah pelajar

    Menerusi penyelidikan berjudul Kesan Kurikulum Pelajaran Agama Terhadap Pembangunan Sahsiah Pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Islam Negara Brunei Darussalam telah membuatkan Awang Abdul Hakim bin Dr Haji Roslan menjadi salah seorang penerima Ijazah Sarjana Pengurusan Pembangunan Secara Penyelidikan.

    Salah seorang graduan istimewa yang memegang Ijazah Sarjana Muda Halal Sains dan minor dalam Ekonomi Islam, Dayang Rabi’atul ‘Adawiah ketika ditemui Media Permata.
    Dayang Siti Noratiqah berkata menerusi pengajian yang dilakukan telah memberi peluang kepadanya dalam menghasilkan kajian berjudul Coronavirus and the Survival of the Travel Agencies in Brunei Darussalam.
    Awang Abdul Hakim ketika ditemui penulis.
    Dayang Masbatrisyia memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi dan juga mampu menggembirakan hati kedua orang tua dan ahli keluarga yang lain dengan ijazah yang diterima.
    Adama Conateh, salah seorang graduan antarabangsa berasal dari Gambia, Afrika Barat menerima Ijazah Sarjana Kewangan dan Perbankan Secara Penyelidikan.

    “Dengan perlaksanaan kajian ini, ia sememangnya bertujuan untuk melihat sejauh mana pembangunan sahsiah pelajar di antara dua buah institusi pengajian tinggi Islam, Kolej Universiti Penguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan UNISSA, meliputi aspek kurikulum, struktur dan suasana pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan selama ini.

    “Memang ada perbezaan, pengajian di KUPU SB lebih kepada perguruan agama manakala UNISSA pula mengutamakan kepada pengajian Islam. Pastinya sebagai seorang pendidik mestilah sentiasa memantapkan pengurusan dalam pengajaran lebih-lebih lagi dalam mengendalikan cabaran dari semasa ke semasa,” ujarnya lanjut.

    UNISSA pilihan pertama

    Sementara itu, salah seorang graduan antarabangsa berasal dari Gambia, Afrika Barat, Adama Conateh selaku penerima Ijazah Sarjana Kewangan dan Perbankan Secara Penyelidikan turut meluahkan kesyukuran bahawa peluang melanjutkan pengajian di UNISSA telah menambah pengetahuannya lebih mendalam dalam kewangan dan perbankan Islam yang diaplikasikan di negara ini.

    Berkongsi detik mula memilih pengajian di UNISSA di tempat pertama suatu ketika dahulu adalah disebabkan universiti ini sebagai salah sebuah universiti Islam tulen yang menawarkan program kewangan berkonsepkan Islam yang begitu bermanfaat bukan sahaja untuk kerjaya nanti bahkan juga untuk sama-sama berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman bersama masyarakat Islam di negara beliau.

    “Pengajian selama dua tahun ini, saya amat bersyukur sudah mencapai salah satu cita-cita saya belajar di universiti ini,” ucapnya yang turut menaruh impian besar agar dapat peluang melanjutkan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah pada pengambilan seterusnya nanti.

    Mendalami ilmu halal sains

    Selain itu, Ijazah Kelas Pertama dalam jurusan Sarjana Muda Halal Sains, Fakulti Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban yang diperolehi Dayang Masbatrisyia binti Haji Masri adalah sebuah kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Ilahi dan juga mampu menggembirakan hati kedua-dua orang tua dan ahli keluarga yang lain.

    “Begitu sukar diungkapkan dengan kata-kata namun apa yang mampu saya luahkan setiap usaha dan penat lelah yang telah ditempuhi selama empat tahun ini sudah membuahkan hasil yang tidak dijangka. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas kejayaan ini dan berterima kasih dengan adanya sokongan dari setiap pihak yang telah memberi semangat, dorongan dan bimbingan sepanjang pengajian saya di universiti ini,” ucapnya tulus.

    Beliau turut berkongsi setelah menamatkan jurusan berkenaan, manfaat ilmu dan kemahiran yang diperoleh sangat meluas dalam pengurusan, pensijilan serta pemprosesan sama ada ianya berupa makanan dan minuman halal, perubatan halal, kosmetik halal, pelancongan halal, logistik halal dan lain-lain lagi.

    “Dengan adanya jurusan ini, ia telah menitikberatkan akan kepentingan mempunyai pengetahuan mengenai dengan halal dan haram secara meluas sebagai suatu keperluan bagi kehidupan kita sehari-hari sebagai umat Islam yang berteraskan Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai gaya hidup kita di Negara Brunei Darussalam.

    “Pada waktu yang sama, dengan adanya ilmu dan kemahiran yang diperolehi ini juga akan mengembang luaskan lagi industri halal dalam menjadikan negara ini sebagai halal hu,” ujarnya lagi yang juga telah berjaya menghasilkan penyelidikan tahun akhir bertajuk Fiqh Istihalah in Determining the Status of Food Product According to Shariah.

    Selain itu, Dayang Siti Noratiqah binti Aminudin juga selaku graduan daripada jurusan yang sama turut berkesempatan mengongsikan menerusi pengajian telah memberi peluang kepadanya dalam menghasilkan kajian berjudul Coronavirus and the Survival of the Travel Agencies in Brunei Darussalam di mana kepentingan yang dapat diperoleh daripada penyelidikan berkenaan bagi melihat pandangan tentang bagaimana agensi pelancongan di negara ini bertahan semasa wabak melanda yang secara tidak langsung menawarkan Survival Skills 101 untuk agensi pelancongan masa depan dalam menghadapi krisis yang sama.

    “Jurusan ini sememangnya menjadi medium orang ramai untuk mempelajari lebih lanjut mengenai halal dan haram. Lebih-lebih lagi bertepatan dengan kepentingan agama, bangsa dan negara di mana ianya jua berkait rapat dengan falsafah negara kita MIB,” tambahnya.

    Manakala salah seorang graduan istimewa yang memegang Ijazah Sarjana Muda Halal Sains dan minor dalam Ekonomi Islam, Dayang Rabi’atul ‘Adawiah binti Haji Mohamed Nor, juga berkesempatan berkongsi mengapa memilih jurusan berkenaan dalam pengajian sarjana muda beliau kerana dirinya begitu ingin untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan dengan isu-isu kontemporari semasa yang berkaitan dengan halal.

    “Tambahan lagi, di Negara Brunei Darussalam, pengetahuan mengenai halal agak kurang dan penyebarannya belum meluas seperti negara-negara lain contohnya di Malaysia. Pastinya dalam pengajian saya dalam masa empat tahun ini boleh memberikan impak kepada diri saya dan juga insan-insan sekeliling dengan sama-sama mengongsikan maklumat bagi sesiapa yang belum mengetahuinya.

    “Selain itu juga, Insya-Allah para graduan UNISSA yang mengambil jurusan termasuk diri saya sendiri boleh menjadi penerus dan menjadikan ianya sebagai hab halal yang berteraskan syariah di dalam mahupun di luar negara,” ujarnya penuh harapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...