Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bangkai kapal karam tertua ditemui di Laut Hitam

    LONDON – Kapal dagang Yunani Purba yang berusia lebih 2,400 tahun, ditemui dalam keadaan masih utuh di dasar Laut Hitam. Kapal itu menjadi antara 60 bangkai kapal dikenal pasti oleh Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam yang turut termasuk kapal laut Rom dan armada penyerang Kossak dari abad ke-17.

    Sepanjang projek tiga tahun itu, penyelidik menggunakan sistem kamera air dalam yang sebelum ini digunakan dalam bidang penerokaan minyak dan gas luar pesisir untuk memetakan dasar laut.

    Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam dalam kenyataannya berkata, satu bahagian kecil daripada kapal itu sudah diuji pentarikhan karbon dan disahkan sebagai bangkai kapal tertua yang masih utuh diketahui oleh manusia.

    Kapal yang kini terdampar di sebelah sisi dengan tiang dan kemudinya masih utuh itu, berasal daripada 400 Sebelum Masihi (SM) – zaman yang menyaksikan Laut Hitam menjadi hab perdagangan koloni Yunani. Pasukan penyelidik berkata, kapal yang sebelum ini gambarnya hanya dilihat dalam bentuk utuh pada pasu Yunani Purba itu, ditemui pada kedalaman lebih 2,000 meter.

    Air di kedalaman itu bebas oksigen yang bermakna bahan organik dapat bertahan selama ribuan tahun. “Kapal yang masih utuh daripada dunia Klasikal, terdampar pada kedalaman lebih 2 kilometer (KM), adalah sesuatu yang sebelum ini sukar untuk dipercayai,” kata Prof Jon Adams dari Universiti Southampton di selatan England yang juga penyiasat utama projek berkenaan. “Ini akan mengubah pemahaman kita dalam konteks pembinaan kapal dan pelayaran di dunia purba,” katanya. – AFP

    Kapal itu menjadi antara 60 bangkai kapal dikenal pasti oleh Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam yang turut termasuk kapal laut Rom dan armada Kossak dari abad ke-17. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda